PROGRAM KESEDARAN GEOPARK PERINGKAT DAERAH MERSING

PROGRAM KESEDARAN GEOPARK PERINGKAT DAERAH MERSING

Mersing, 15 November 2018 - Pengiktirafan daerah ini sebagai tapak geopark pertama di Johor diharap bukan sahaja menjadikan Mersing sekadar persinggahan, malah turut menjadi lokasi pelancong meluangkan masa lebih lama di sini. Wakil Pegawai Daerah Mersing, Mohamed Afiq Zubir berkata, saban minggu ratusan pelancong berkunjung ke Pulau Tioman, sekali gus menjadikan daerah ini sebagai persinggahan.

“Namun, kita berharap dengan adanya geopark ini pelancong turut melapangkan masa beberapa hari di Mersing. “Tambahan pula, telah banyak usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk tempoh 10 tahun kebelakangan ini dengan bantuan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang mana telah banyak membangunkan kemudahan infrastruktur bagi menyokong hasrat menjadikan Mersing sebagai destinasi pelancongan terunggul rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program kesedaran geopark peringkat daerah Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, semalam. Mohamed Afiq berkata, kejayaan geopark Mersing bergantung kepada komitmen dan kerjasama setiap jabatan serta agensi yang ada di Mersing selain peringkat negeri serta persekutuan.

Katanya, geopark merupakan satu penjenamaan dan pengiktirafan serta tidak menyentuh kuasa atau hak penjagaan sesebuah entiti. “Sebagai contoh kawasan lautan dan pulau akan kekal diuruskan Jabatan Laut dan Jabatan Taman Laut.

“Justeru, pengiktirafan sebagai geopark dilihat akan memantapkan lagi peranan setiap entiti dalam memelihara alam semula jadi dan perancangan pembangunannya mengikut konsep kelestarian,” katanya.

Jelasnya, diharapkan jawatankuasa pelaksana geopark kebangsaan dapat beri bimbingan dalam menyusun dan mengatur gerak kerja untuk pastikan kejayaan geopark Mersing.

Sumber Artikel - Sinar Harian Online

View the embedded image gallery online at:
http://blog.jmg.gov.my/2018-11-18-06-37-21#sigProId714e48ab9c

Written by : asrul