Kunjungan Hormat JMG Malaysia kepada Menteri Besar Pahang, Disember 2020

Kunjungan Hormat JMG Malaysia kepada Menteri Besar Pahang, Disember 2020

Kunjungan Hormat JMG Malaysia kepada Menteri Besar Pahang, Disember 2020

 

Oleh : Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

 

Pada hari Jumaat 11 Disember 2020, bersamaan 25 Rabiulakhir, 1442 Hijrah, Pengarah JMG Pahang, Tn Hj Nurul Huda bin Romli bersama Pengarah Cawangan Ekonomi Mineral JMG Malaysia, En Azemi bin Hj Eki telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Seri Pahang, Kuantan. Rombongan JMG Pahang turut disertai oleh En Mohd Sari bin Hasan, Timbalan Pengarah Unit Geosains, Tn Hj Shari bin Ismail. Timbalan Pengarah Unit Sumber Mineral dan En Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan, Ketua Unit Pengurusan Maklumat JMG Pahang. Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail turut disertai bersama oleh Dato’ Fadzilla bin Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Pahang dan wakil-wakil berkaitan dari Kerajaan Negeri Pahang.

 

Tujuan utama kunjungan hormat kepada Menteri Besar ini diadakan ialah bagi pemakluman dan pengenalan berkaitan Potensi dan Pembangunan Sumber Unsur Nadir Bumi Bukan Radiokatif (NR-REE) Dalam Tanah Liat Jerapan Ion (Ion Adsorption Clay) Negeri Pahang oleh JMG Malaysia yang disampaikan oleh En Azemi bin Hj Eki. Berikutan isu Unsur Nadir Bumi (Rare Earth Element) yang menjadi agak tular dan popular pada masa kini, adalah menjadi keperluan dan penting untuk pihak JMG Malaysia memberikan sedikit sebanyak penerangan berkenaan isu-isu berkaitan kepada mana-mana pihak kerajaan negeri yang berkepentingan selaku pemegang taruh utama. Antara perkara utama yang telah dibuat pembentangan oleh En Azemi bin Hj Eki termasuklah penggunaan bahan, variasi bahan, taburan semasa, keradioaktifan bahan (jika ada), teknik perlombongan mampan serta perbezaan antara istilah sumber dan rezab bahan.

 

Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail dalam bual balas beliau menyatakan pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka dan berminat dengan sebarang usul yang dinyatakan, ditambah dengan Negeri Pahang yang turut mempunyai sumber berkaitan mengikut kajian semasa. Beliau bagaimanapun menyarankan agar Standard of Procedure (SOP) untuk cadangan aktiviti  berkenaan disediakan serta sentiasa diperhalusi dari masa ke semasa bagi memastikan perlombongan mampan dan selamat dapat diusahakan sekiranya ia dilaksanakan. Beliau turut menekankan berkaitan isu perlombongan haram yang masih berlaku dan perlunya kerjasama antara kerajaan Negeri Pahang dan pihak JMG Malaysia selaku Agensi Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan penguatkuasaan bersama yang bersesuaian.

 

Kunjungan hormat kepada Dato’ Sri Menteri Besar yang berlansung selama lebih 50 minit ini diakhiri dengan penyerahan cenderamata yang disampaikan oleh En Azemi bin Hj Eki kepada Dato’ Sri Menteri Besar berupa buku dan laporan-laporan terbaharu Cawangan Ekonomi JMG Malaysia. Ini kemudiannya disusuli pula oleh penyampaian cendera kenangan dari Dato’ Sri Menteri Besar kepada delegasi JMG Malaysia. Terima kasih Dato’ Sri.

 

Semoga kunjungan hormat JMG ke Pejabat Menteri Besar Pahang ini akan terus mengeratkan hubungan dan kerjasama JMG Malaysia secara am dan JMG Pahang secara khusus selaku entiti Kerajaan Persekutuan dengan Pejabat Menteri Besar Pahang khususnya, serta Kerajaan Negeri Pahang amnya…Insha Allah…

 

- sekian -

 

 

Written by : aznawi