BENGKEL TEKNOLOGI SERAMIK 2016

BENGKEL TEKNOLOGI SERAMIK 2016

Satu bengkel teknologi seramik telah dianjurkan oleh Divisyen Pembangunan Usahawan dan Sosio Ekonomi (EDSE), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan bantuan kepakaran Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG). Bengkel ini berlangsung selama sehari untuk usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seramik Negeri Perak.

Bengkel teknologi seramik dengan tema “Penghasilan Produk Berteknologi Dan Berkualiti Ke Arah Pengkomersialan” telah diadakan pada 24 Ogos 2016 di Dewan Seminar PPM-JMG. Seramai 29 orang peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada 16 usahawan PKS seramik Negeri Perak yang berdaftar dengan PKNP, 3 peserta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak (PKKM-CP) dan 10 peserta warga kerja penyelidikan PPM-JMG . Objektif bengkel adalah:-

  • Memastikan teknologi seramik dialih-pakai kepada PKS seramik tempatan untuk penghasilan produk yang lebih berkualiti.
  • Pendedahan maklumat terkini berkaitan teknologi dan kualiti produk seramik.
  • Mewujudkan platform untuk perkongsian pengalaman dalam bidang pembuatan produk tanah liat atau produk berasaskan tanah liat serta pengembangan idea-idea untuk meningkatkan nilai komersil sumber tanah liat dan kaolin tempatan.
  • Untuk mempromosikan teknologi pencirian, benefisiasi dan penghasilan produk berasaskan lempung dan kaolin tempatan ke arah pengkomersilan oleh PKS seramik tempatan.

Bengkel telah dirasmikan oleh Pengarah EDSE yang diwakili oleh Pengurus Pembangunan Usahawan Puan Salmah binti Mohamed Ismail. Turut hadir adalah Pengarah PPM-JMG, Encik Md. Muzayin bin Alimon, dan Pengarah PKKM-CP, Encik Mohd Noor Effendy bin Abdul Karim.

Syarahan dan penerangan telah dikendalikan  oleh Tuan Haji Abdul Rois bin Haji Abdul Mois, Pegawai Penyelidik dari Cawangan Teknologi Berasaskan Lempung (CTBL), yang melibatkan 3 sesi iaitu syarahan berkaitan bahan mentah seramik dan penyediaan bahan mula, syarahan berkaitan terminalogi dan rekabentuk jasad seramik dan penerangan teknikal di makmal-makmal CTBL. Majlis penutup dan penyampaian sijil-sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Pengarah PPM-JMG.

View the embedded image gallery online at:
http://blog.jmg.gov.my/akrab/2016-09-06-09-37-26#sigProIdbeeced211a

Written by : ezulia