LAWATAN TAPAK SIASATAN GEOBENCANA KEJADIAN KEGAGALAN CERUN DI TAMAN MUZAFFAR HEIGHTS

LAWATAN TAPAK SIASATAN GEOBENCANA KEJADIAN KEGAGALAN CERUN DI TAMAN MUZAFFAR HEIGHTS

AYER KEROH, 18 MEI 2021 - Satu lawatan tapak oleh Pasukan Kumpulan Kerja Tindakan Bencana Geologi JMGNSM telah dilaksanakan susulan daripada aduan kegagalan cerun yang telah berlaku berhampiran dengan sebuah rumah di Taman Muzaffar Heights, Ayer Keroh, Melaka. Aduan tersebut telah dibuat melalui laman rasmi Jabatan Mineral & Geosains Malaysia. Pegawai penyiasat yang bertugas adalah Puan Rosni Lokman dan En Amin Hamdan dari aktiviti Geologi Kejuruteraan.

Sebelum lawatan tapak dimulakan, kajian desktop study telah dilaksanakan bagi mengenalpasti keadaan geologi, topografi, saliran serta lain-lain maklumat keadaan fizikal setempat di lokasi kejadian.

Siasatan tapak yang dijalankan di lokasi kejadian adalah mengambil cerapan lapangan, mengenalpasti punca-punca dan tahap risiko runtuhan. Faktor-faktor seperti litologi, struktur dan kadar luluhawa batuan/tanah diperhatikan di sekitar kawasan kejadian. Sampel batuan turut diambil untuk tujuan analisa dan rujukan. Keadaan struktur dan utiliti yang terdapat berhampiran dengan lokasi kegagalan cerun juga direkodkan kerana ia merupakan aset yang berharga dan perlu diambil perhatian.

Cerapan data di lapangan seperti dimensi serta geometri cerun direkod menggunakan borang proforma. Secara keseluruhan, terdapat beberapa faktor geologi dan faktor lain telah mempengaruhi kestabilan dan menjadi pemangkin kepada kegagalan cerun di kawasan tersebut. ย Didapati kawasan tersebut mempunyai kekangan geologi kerana didasari batuan syis yang mempunyai kekuatan lemah, lapisan tanah terluluhawa tinggi, mempunyai cerun yang sangat curam, sistem saliran cerun yang tidak efisyen kerana tidak diselenggara serta faktor hujan lebat sebagai pemangkin kejadian kegagalan cerun berlaku.

Selain itu, temu bual juga dijalankan dengan pengadu serta penduduk yang tinggal paling hampir dengan lokasi kegagalan cerun tersebut bertujuan mendapatkan kronologi kejadian dan maklumat lain bagi melengkapkan siasatan. Di samping itu, penerangan dan khidmat nasihat turut disampaikan oleh Puan Rosni kepada pengadu sepanjang perbincangan bagi menjelaskan tentang faktor-faktor penyebab kegagalan cerun, risiko kepada rumah dan cadangan penyelesaian serta langkah yang dapat dilakukan oleh pengadu bagi mengurangkan kesan dan risiko kegagalan cerun dalam jangka masa pendek.

Written by : aminjmg26