
IPOH, 25 Mac 2025: Satu sesi perbincangan teknikal antara Unit Geologi Marin, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan PETRONAS telah diadakan bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam perkongsian data geospatial sedimen dasar laut. Perbincangan ini bertujuan untuk memperkukuh usaha pemetaan dan penyediaan Peta Sedimen Dasar Laut di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sepanjang sesi ini, JMG telah membentangkan metodologi serta dapatan kajian teknikal yang sedang dilaksanakan yang berpotensi dimanfaatkan dalam usaha penyelarasan dan integrasi data geospatial sedimen dasar laut. Pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang kondusif dan penuh profesionalisme membuahkan beberapa cadangan awal sebagai asas kepada jalinan kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
PETRONAS turut berkongsi pembentangan mengenai data serta dapatan yang mereka miliki, yang dapat menyokong usaha JMG dalam penyediaan Peta Sedimen Dasar Laut Negara. Selain itu, perbincangan ini turut merangkumi perspektif geologi dan geosains negara dengan fokus kepada potensi pembangunan bersama yang lebih inklusif dan komprehensif antara JMG dan PETRONAS.
Pihak JMG merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas kesudian untuk berkunjung serta berkongsi maklumat selaras dengan aspirasi memperkasa pengurusan sumber geologi marin negara. Diharapkan sinergi ini akan terus berkembang menyokong pembangunan sektor eksplorasi sumber geologi marin dan memperkukuh ekosistem data geosains negara secara holistik