BENGKEL PEMURNIAN DAN TRANSFORMASI DATA BAGI PENGHASILAN PETA PENGKELASAN SUMBER PASIR DAN PETA SEDIMEN BERSEPADU PROJEK KAJIAN SUMBER PASIR LAUT NEGARA FASA 3 DI PERAIRAN LEPAS PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

BENGKEL PEMURNIAN DAN TRANSFORMASI DATA BAGI PENGHASILAN PETA PENGKELASAN SUMBER PASIR DAN PETA SEDIMEN BERSEPADU PROJEK KAJIAN SUMBER PASIR LAUT NEGARA FASA 3 DI PERAIRAN LEPAS PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

IPOH, 10 Mac 2025:  Satu sesi perkongsian maklumat dan perbincangan teknikal telah berlangsung dengan jayanya pada 9 hingga 10 Mei 2025 bertempat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, melibatkan kerjasama erat antara Unit Geologi Marin, Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT), JMG Malaysia dan syarikat pelaksana, Spatialworks Sdn. Bhd.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. En. Ahmad Zulkifli bin Kamaruzaman, Pengarah Perkhidmatan Geosains, BPT, dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai teknikal dari Unit Geologi Marin. Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memperhalusi serta menyelaraskan gerak kerja penyediaan Peta Sedimen dan Peta Pengkelasan Sumber Pasir Negara, sejajar dengan keperluan semasa dan permintaan sektor pembangunan dan industri serta nilai tambah (added value) kepada aspek strategik keselamatan dan kedaulatan negara.

Antara pengisian utama bengkel ini merangkumi sesi pembentangan teknikal yang mendalam mengenai konteks geologi (geological setting) di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, termasuk penyediaan dan interpretasi keratan rentas geoseismik yang memberi gambaran jelas struktur bawah permukaan laut. Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan data-data geosains marin agar lebih seiring dengan permintaan komersial semasa, terutamanya dalam aspek perancangan sumber geologi marin serta pembangunan peta tematik berimpak tinggi yang menyokong pembangunan negara secara mampan.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen JMG dalam memastikan data geosains marin negara kekal relevan, tepat dan berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan negara secara lestari.