Masalah Kekurangan Air Di Loji Rawatan Air Bakal Diatasi

Masalah Kekurangan Air Di Loji Rawatan Air Bakal Diatasi

Satu lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Merlimau, Melaka telah dilaksanakan oleh sepasukan terdiri daripada 17 orang pegawai geosains unit hidrogeologi Pejabat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri. Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Cawangan Penyelarasan dan Pelaksanaan Operasi (PPO) Ibu Pejabat JMG, Hj. Mohd Nazan bin Awang. Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Ketua Projek bagi Kajian Sumber Air Tanah Untuk Mengatasi Loji Rawatan Air (LRA) Bermasalah, Hj Nurzaidi bin Abdullah dan Timbalan Pengarah JMG Pahang, Encik Wan Saiful bin Wan Mohamad serta pegawai-pegawai daripada Badan Kawal Selia Air Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad.

Lawatan ke LRA Merlimau ini merupakan sebahagian daripada program Mesyuarat Penyelarasan Kajian Sumber Air Tanah Untuk Mengatasi Loji Rawatan Air (LRA) Bermasalah yang diadakan di Hotel Bayview, Melaka dari 25-26 Mac 2018. Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk mendapatkan gambaran awal berkenaan data-data asas yang diperlukan di setiap LRA. Data-data tersebut kemudiannya akan digunakan apabila memulakan kajian sebenar di setiap LRA yang telah ditentukan di seluruh Malaysia.

Adalah menjadi harapan agar hasil daripada perlaksanaan projek ini nanti, sumber air tanah akan dapat digunakan sebagai sumber air tambahan kepada loji rawatan air yang mengalami masalah di masa kekurangan sumber air permukaan. Dengan itu para penduduk tidak lagi mengalami masalah bekalan air walau pun di masa kemarau.