45 peserta sertai ekspedisi Geotrail Titi Hayun, Geopark Jerai

45 peserta sertai ekspedisi Geotrail Titi Hayun, Geopark Jerai

YAN - Seramai 45 peserta terlibat dalam ekspedisi Geotrail dari Titi Hayun hingga ke Puteri Mandi, Yan baru-baru ini.

Pegawai Geosains Kanan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nur Susila Md. Saaid berkata, program yang dianjurkan mendapat kerjasama baik daripada Bahagian Pembangunan Ekonomi Kedah (BPEN Kedah) dan Majlis Daerah Yan (MDY).

"Program ini bertujuan melihat sendiri keperluan pembangunan lestari Geotrail Titi Hayun ke Puteri Mandi," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan mencadangkan kaedah serta kemudahan yang perlu diwujudkan untuk tujuan pelancongan yang lebih baik di kawasan ini.

"Geotrail ini adalah konsep pembangunan pelancongan lestari dalam Jerai Geopark dan ia akan membolehkan keistimewaan geologi, biodiversiti serta ekosistem difahami dan dikongsi kepada pelancong," katanya.

Nur Susila berkata, kawasan itu juga sebenarnya dipelihara kerana ia merupakan sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Jerai, sejak 1954.