JMGKPP KONGSI ILMU GEOLOGI KEPADA PELAJAR SBPI KUBANG PASU

b1

GUNUNG JERAI – Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menerima jemputan untuk ke Program Perkhemahan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu yang lebih dikenali sebagai i-KUPS bagi memberi pendedahan awal mengenai ilmu geologi kepada pelajar tingkatan 5. Seramai 125 orang pelajar telah terlibat dalam mengikuti program berkenaan.

5 orang dari wakil JMGKPP telah hadir bagi menjayakan program iaitu seorang Pegawai Geosains, Encik Muhammad Mustadza B. Mazni selaku penceramah dan dibantu oleh dua orang pembantu geosains iaitu Encik Khalid B. Mat Hashim dan Encik Ismail B. Ghazali berserta dua orang pelajar latihan industri.

b2

Aktiviti yang dijalankan oleh JMGKPP terbahagi kepada dua iaitu ceramah dan sedikit aktiviti amali. Ceramah bermula mengenai JMGKPP, aktiviti JMGKPP, jenis-jenis batuan, kepentingan batuan, dan morfologi Gunung Jerai. Dalam pada masa yang sama, pelajar-pelajar telah mengenali batuan-batuan secara langsung apabila pihak kami mempamerkan beberapa jenis mineral dan batuan seperti sedimen, igneus, kuarza dan lain-lain lagi

b3

Pada sesi yang kedua, aktiviti amali dijalankan oleh Encik Khalid iaitu aktiviti mendulang bagi mendapatkan sumber mineral yang terdapat sekitar anak sungai di Gunung Jerai. Seterusnya, pelajar-pelajar dibawa ke sekitar sungai untuk mengenali jenis batuan dengan lebih dekat dan jelas. Mereka juga turut didedahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran dan profesion dalam bidang kaji bumi.