Kenyataan Media JMG Bersempena Majlis Perasmian Tapak Terpelihara Geowarisan Negeri Kedah

Kenyataan Media JMG Bersempena Majlis Perasmian Tapak Terpelihara Geowarisan Negeri Kedah

KENYATAAN AKBAR

Di Majlis Perasmian Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah

6 November 2014

Misi Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) adalah bagi menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi, kualiti hidup, sosial dan alam sekitar melalui penggunaan maklumat mineral dan perkhidmatan geosains yang berkesan. Oleh itu, JMG setiap masa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pencapaiannya di dalam tanggungjawab besar yang telah diamanahkan iaitu bidang mineral dan geosains.

 

Bidang Geopelancongan merupakan antara bidang geosains yang diterajui oleh JMG, di mana JMG merupakan salah satu agensi Kerajaan yang terlibat sepenuhnya dalam projek kajian Geowarisan Negara. Oleh kerana peruntukan yang biasa diterima untuk kajian seperti ini adalah agak terhad, pada kebiasaannya kajian ini hanya berakhir di peringkat mengenalpasti dan pengumpulan maklumat tapak geowarisan sahaja. Walau bagaimanapun, dengan anjakan paradigma dan inisiatif pemikiran serta melakukan inovasi, JMG dapat maju selangkah ke hadapan dalam membangkitkan kesedaran dan seterusnya meletakkan tapak geowarisan seperti yang ditemui hari ini sebagai mercu destinasi pelancongan berasaskan ilmu demi untuk generasi akan datang serta generasi yang menghargai warisan alam sedia ada. Warisan ini merupakan anugerah yang tidak ternilai dan datang hanya sekali seumur hidup dan ianya warisan yang tidak berulang.

Kejayaan dalam upacara perasmian pada hari ini merupakan antara pencapaian JMG yang harus dibanggakan dan kejayaan memartabatkan tapak geowarisan ke satu peringkat yang lebih tinggi. Ini merupakan salah satu aspirasi Pegawai Geosains dari JMG untuk melihat lebih banyak tapak dipulihara dan diwartakan oleh pihak Kerajaan Negeri. JMG juga sentiasa berkerjasama yang erat dalam penyelidikan bersama pihak Kumpulan Warisan Geologi Malaysia dan JMG akan terus memacu usaha memulihara sumber warisan geologi dalam jangka masa panjang di negara ini.

  1. Warisan geologi diakui menjadi sumber warisan penting di banyak negara termasuk Malaysia. Atas sebab ini, penyelidikan warisan geologi secara ekstensif telah dilakukan selama puluhan tahun di negara ini. Tapak yang menggambarkan warisan geologi Malaysia telah dikenal pasti, dilindungi dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak untuk tujuan pendidikan dan Geopelancongan. Untuk membantu untuk memastikan pembangunan mampan sumber-sumber warisan, pelbagai inisiatif pemuliharaan warisan geo telah dilaksanakan di Malaysia. Di samping itu, Malaysia terlibat secara aktif dalam mempromosikan pemuliharaan warisan geo di peringkat serantau dan global.
  2. Warisan geologi dan landskap kini sudah berjaya dibangunkan sebagai sumber pelancongan baru yang dikenali sebagai 'geopelancongan'. Warisan alam semulajadi seperti geologi, biologi, budaya dan tradisi setempat kini dapat dilihat sebagai sumber penting yang boleh dibangunkan bagi memperkenalkan pendekatan pelancongan yang lebih kreatif dalam konteks 'pelancongan berasaskan ilmu'.
  3. PEMELIHARAAN SUMBER WARISAN GEOLOGI - Warisan geologi merupakan sumber semulajadi yang penting kepada negara dalam aspek warisan, budaya dan ekonomi. Sumber semulajadi ini perlu dikenalpasti dan dipelihara untuk penyelidikan dan tarikan pelancongan yang turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi Negara dan kesejahteraan masyarakat. Justeru itu JMG telah dan akan memainkan peranan aktif dalam mengenalpasti kawasan-kawasan warisan geologi negara supaya ianya dapat dipelihara sebagai khazanah untuk penyelidikan dan tarikan pelancongan.
  4. MELINDUNGI KHAZANAH WARISAN GEOLOGI - Khazanah warisan geologi yang telah dikenalpasti perlu dilindungi bagi tujuan penyelidikan dan pelancongan berkonsepkan eko-pelancongan dan geo-pelancongan. JMG perlu bekerjasama dan meyakinkan pihak berkuasa yang berkaitan supaya sumber ini yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi negara dipelihara dan dimanafaatkan.
  5. Negeri Kedah memiliki banyak tapak-tapak geologi yang menarik. Tapak-tapak ini amat sesuai dibangunkan sebagai warisan geologi dan tempat pelancongan. Khazanah warisan geologi telah dikenalpasti dan perlu dipelihara untuk tujuan penyelidikan. Tapak-tapak warisan geologi ini akan dipeta dan dizonkan sebagai warisan negara serta dimajukan untuk pembangunan industri pelancongan. Tapak-tapak geologi ini merangkumi:
      1. Gunung Jerai, Yan - Gunung tertinggi (1200m) di Negeri Kedah dengan pemandangan indah dan memiliki nilai warisan Tamadun Lembah Bujang. Terdiri batuan zaman Kambria berusia 500 juta tahun iaitu Formasi Jerai (jenis batuan kuarzit dan syis).
      2. Gunung Keriang, Alor Setar - Terletak kira-kira 10km ke utara Bandaraya Alor Setar. Gunung yang terdiri daripada batu kapur berusia sekitar 200-250 juta tahun dengan landskap permandangan indah di tengah-tengah kawasan sawah padi.
      3. Bukit Kodiang, Jitra - Perbukitan kars batu kapur menarik berusia sekitar 200-250 juta tahun. Bukit ini amat terserlah kerana saiznya besar, tinggi dan mempunyai dinding batu yang tegak dan curam secara perbukitan individu (topografi mogot) di kawasan sawah padi.
      4. Gua Kerbau, Kodiang - Terletak dalam kawasan Bukit Kepelu yang terdiri bukit batu kapur berusia sekitar 200-250 juta tahun. Keunikan pembentukan gua semulajadi dengan dataran sederhana luas di dalamnya serta kaya stalagmit dan stalagtit serta nilai arkeologinya.
      5. Bukit Batu Pahat, Merbok - Geotapak dengan ciri-ciri peninggalan arkeologi daripada sumber batuan igneus (granit) berusia Trias sekitar 200-250 juta tahun.
      6. Sungai Batu Pahat, Merbok - Terdiri daripada sejarah tamadun ekplorasi sumber besi yang tertua di Malaysia serta kaitan dengan warisan geologi.
      7. Debu Gunung Berapi (Volcanic Ash), Padang Sanai - Terdiri daripada debu volkanik yang jarang ditemui di Malaysia serta persamaan lokasi di Ulu Lengong, Perak. Hasil  pembentukan akibat letusan gunung berapi Danau Toba  pada sekitar 70,000 tahun yang lalu
      8. Air Panas, Ulu Legong – Merupakan mata air yang terhasil akibat air bawah tanah yang dipanaskan secara geoterma yang mengalir keluar dari kerak Bumi.
  6. TAPAK GEOWARISAN BUKIT LAREK - Saya difahamkan, tapak terpelihara geowarisan ini dipilih kerana ia merupakan satu-satunya peninggalan singkapan batuan rijang yang jelas dapat dilihat pada masa kini dan perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Tapak terpelihara ini terdiri daripada batuan sedimen (enapan) jenis rijang berusia 230-290 juta tahun.

FOSIL KHAS

Kandungan fosil adalah daripada jenis mikro fosil: Radiolaria (protozoa).  Fosil ini bernilai saintifik tinggi dalam skala geologi dunia dan digunakan untuk menentukan usia pengendapan batuan serta sejarah sekitaran sesuatu kawasan sekiranya tiada fosil makro dijumpai.  Penemuan fosil mikro radiolaria tertua di kawasan berhampiran Bukit Larek yang berusia Perm Awal (290 juta tahun yang lalu).

KETERANGAN

Rijang adalah batuan sedimen yang terbentuk di lautan dalam. Batuan ini dibentuk oleh pengendapan sejenis fosil mikro iaitu radiolaria yang mati dengan tinggalan rangka silika jenis opal. Kehadiran batuan ini menunjukkan pada masa dahulu kawasan sekitar Bukit Larek, Pokok Sena terbentuk dalam lingkungan marin lautan dengan kedalaman sekitar 2 hingga  4km dibawah dasar laut

Diharapkan agar ikon yang baru ini bakal memberikan sinar yang lebih cerah untuk Pokok Sena sebagai pusat rujukan daripada dalam dan luar negara. 

Zainol Husin

Pengarah

Jabatan Mineral dan Geosain Malaysia, Kedah/Perlis /P.Pinang