Perasmian Telaga Tiub Air Bawah Tanah SMA Nahdhah Hasanah di Kodiang

Melele (Kodiang), 23 OKTOBER - Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub Air Bawah Tanah kepada Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di sini telah selamat disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Yunus Bin Abdul Razak, Ketua Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG), pagi tadi.

Dalam ucapan perasmian, Dato' Yunus menegaskan pentingnya kegunaan air sebagai nikmat daripada Allah s.w.t. yang mesti digunakan sebaik-baiknya. Beliau juga berharap agar telaga tiub air bawah tanah yang telah dibina akan digunakan seoptimum mungkin oleh warga sekolah agar dapat berfungsi dengan baik dan lancar.

Pembinaan telaga tiub air bawah tanah bermatlamat mengurangkan masalah air di sekolah sejak sekian lama. Telaga tiub air bawah tanah di sekolah ini dibina pada kedalaman 56 meter di kawasan aluvium Kuaterner dan dilengkapi dengan sistem pengudaraan dan penapisan.

Pengelola sekolah, Tuan Haji Jamil Sadaqi Bin Tajudin dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak JMG dengan sumbangan telaga tiub air bawah tanah. Ujar beliau, pembinaan telaga ini akan menjimatkan kos penggunaan air di asrama sekolah sebanyak RM2000 sebulan.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pengarah Penyelarasan dan Pelaksanaan Operasi (PPO) Ibu Pejabat, Tn. Hj. Wahid Bin Abdul Rahman, Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Tn. Hj. Zainol Bin Husin, wakil-wakil daripada agensi luar dan penduduk setempat.

Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan sajak dan qasidah oleh para pelajar sekolah serta pertunjukan silat seni oleh Persatuan Putra Warisan Negeri Kedah.