Warisan Fosil Mikro Bukti Batuan Di Bukit Larek, Pokok Sena Berada Sekitaran Laut Dalam

Fosil mikro adalah aset semula jadi yang bernilai saintifik amat tinggi. Fosil mikro boleh ditemui dalam pelbagai jenis batuan sedimen. Radiolaria adalah antara contoh fosil mikro yang dapat memberi maklumat dalam aspek biologi, malah dapat membantu ahli geologi dalam membuat penilaian dan penafsiran sejarah sekitaran pengendapan disesuatu kawasan.

Radiolaria ialah haiwan protozoa pelagos yang mempunyai taburan meluas di lautan. Dari segi kedudukan habitat fosil mikro ini, ia didapati pada keseluruhan kedalaman lautan daripada bahagian permukaan hingga kedalaman beberapa ratus meter (m). Saiz purata bagi rangka radiolaria adalah sekitar 30-50 mikrometer (Basir, 2002, 2003). Keadaan fizikal radiolaria yang kompleks dan darjah seni bina rangkannya telah menimbulkan minat para pengkaji untuk memahami cara pembentukan dan kegunaannya. Radiolaria boleh didapati dalam batuan bersilika seperti rijang dan radiolarit serta batuan berkarbonat seperti batu kapur, marmar dan sabak.

Oleh itu, fosil mikro ini mempunyai nilai saintifik yang tinggi. Bahkan, fosil mikro ini telah digunakan secara meluas dalam bidang biostratigrafi di mana ianya dijadikan fosil indeks dalam menentukan usia relatif sesuatu lapisan batuan. Berdasarkan fosil mikro ini juga ahli geologi dapat membuat tafsiran sekitaran pengendapan, kedudukan paleoseanografi dan paleobiowilayah bagi sesuatu kawasan pengendapan kuno.

BAGAIMANA PEMBENTUKAN BATUAN BERADIOLARIA?

Radiolaria yang mati, akan termendap ke dasar laut dan membentuk endapan bersilika. Proses pembatuan yang mengambil masa ratusan jutaan tahun (mengikut skala masa geologi) menyebabkan endapan ini mengeras lalu menghasilkan batuan yang dikenali sebagai rijang beradiolaria. Pembentukan batuan ini sangat bergantung pada produktiviti biologinya, kepekatan silika dalam lautan, kekuatan arus bawah laut, jarak daripada benua dan kedalaman pampasan kalsit (Basir, 2003). Berdasarkan faktor inilah, tafsiran tentang keadaan lautan pada masa lampau (palaeoseanografi) dapat dibuat.

Selain itu, batuan rijang beradiolaria juga dapat menghuraikan tentang evolusi tektonik sesuatu kawasan. Kebanyakan jenis batuan rijang beradiolaria yang terbentuk di laut dalam kini tersingkap di cerun potongan jalan raya dan muka cerun kuari secara tidak sengaja semasa kerja-kerja pembangunan dan guna tanah dijalankan. Hal ini berlaku akibat proses pergerakan plat bumi (tektonik) dari dulu hingga kini telah menyebabkan lapisan bumi bergerak dan terangkat menjadi daratan. Lautan luas yang pernah wujud suatu masa jutaan dahulu telah lenyap dari pemandangan sekarang.

KEGUNAAN DAN POTENSI BATUAN RIJANG

Secara umumnya, bahan pembentukan batuan rijang terdiri daripada sumber yang kaya dengan mineral silika (SiO2 atau Silikon Dioksida). Kehadiran mineral SiO2 atau mineral silika mengambarkan darjah kekerasan iaitu 7 skala mohs. Selain itu, secara komposisi kimianya apabila wujud kehadiran silika (Si) menunjukkan ianya kaya dengan mineral kuarza (Qtz). Oleh itu,batuan rijang berpotensi dalam industri batu permata (germstone) standing dengan batu permata yang lain seperti rose quartz, smoky quartz dan lain-lain lagi sekiranya pemilihan sumber batu rijang yang segar dan menarik dari segi warnanya.

Menurut sumber yang lain, batuan rijang telah digunakan semenjak sejarah tamadun purba terdahulu yang digunakan sebagai alat senjata. Faktor fizikal batuan yang boleh diubah kepada bentuk yang tajam serta kekerasannya menjadikan masyarakat purba mengunakannya untuk membentuk alat lembing untuk membunuh binatang, memotong, menanam dan lain-lain lagi (sumber http://geology.com/rocks/chert.shtml).

CADANGAN JMGKPP SEBAGAI “TAPAK TERPELIHARA GEOWARISAN BUKIT LAREK”

Salah satu contoh kawasan yang boleh kita pelajari dan dipelihara untuk generasi masa depan iaitu sebahagian singkapan Bukit Larek, Pokok Sena, Kedah. Kedudukan bacaan Bukit Larek pada garis Latitud: 6°11'43.55" dan garis Longitud: 100°32'51.28" berada dalam kawasan perumahan persendirian. Jarak dari Alor Setar ke Bukit Larek, Pokok Sena lebih kurang 35km manakala jarak dari Pekan Pokok Sena ke Bukit Larek lebih kurang 7km. Lokasi Bukit Larek terletak dalam Daerah Pokok Sena, Mukim Gajah Mati.

Kedudukan faktor geotapak yang strategik iaitu berhampiran tepi jalan besar utama dari Pekan Pokok Sena ke Padang Sanai serta tumpuan kelas pembelajaran luar oleh pelajar-pelajar geologi telah meningkatkan usaha-usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan oleh pihak  JMGKPP. Disamping itu, semangat dan kesungguhan tuan pemunya tapak dalam memberi kebenaran sebagai cadangan ‘Tapak Terpelihara Geowarisan Bukit Larek’ telah memudahkan kerja-kerja cadangan pembangunan papan tanda yang bakal didirikan dikawasan berkenaan .

Cadangan usia batuan dikawasan ini iaitu sekitar 290-230 juta tahun berdasarkan kajian fosil mikro jenis Radiolaria yang lepas dengan sejarah pengendapan geologi berada marin laut dalam. Terdiri daripada Formasi Semanggol dan unit litologi batuan iaitu selang lapis rijang (2-10cm) dan syal yang nipis dengan ketebalan <1cm.

Ditulis oleh : Muhammad Mustadza Mazni