PEMERIKSAAN TAHAP KESELAMATAN KEDIAMAN DI WARISAN PUTERI

PEMERIKSAAN TAHAP KESELAMATAN KEDIAMAN DI WARISAN PUTERI

WARISAN PUTERI, 7 APRIL 2021 – Pihak Jabatan Mineral & Geosains Negeri Sembilan/Melaka telah menerima permohonan daripada seorang pemilik rumah iaitu Encik Zainal yang menetap di Taman Warisan Puteri untuk menjalankan pemeriksaan tahap keselamatan sebuah kediaman miliknya yang telah mengalami keretakan pada dinding di bahagian ruangan dalam rumah. Susulan daripada aduan tersebut, pihak Jabatan Mineral & Geosains Negeri Sembilan/Melaka telah menggerakkan pasukan geobencana yang diketuai oleh Puan Rosni dan dibantu oleh Encik Amin daripada aktiviti kejuruteraan untuk membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Seterusnya, pelaksanaan siasatan ini merangkumi proses pengenalpastian keadaan sekitar dan pelbagai maklumat berkaitan di lokasi yang akan dilawati termasuklah geologi, morfologi, saliran sungai dan data-data berkaitan aktiviti serta guna tanah di kawasan kejadian. Oleh itu, kajian desktop telah dilaksanakan terlebih dahulu di pejabat dengan menggunakan perisian dan carian yang berkaitan untuk memperolehi data-data yang komprehensif dan signifikan untuk siasatan ini.

Selepas itu, lawatan telah dilakukan di lokasi kejadian untuk membuat pemerhatian di lokasi kejadian untuk pemeriksaan struktur yang retak dalam rumah serta kawasan sekitar untuk mencari sepanjang petunjuk yang penting dalam siasatan ini serta untuk dibuat penilaian tentang tahap bahaya dan keselamatan penduduk yang mendiami kediaman tersebut. Di sepanjang lawatan ini, penghuni rumah ini telah memberikan kerjasama yang baik dan turut serta dalam pemeriksaan ini menunjukkan kawasan yang terdapat retakan di dinding rumah serta memberikan keterangan berkaitan kerosakan yang telah berlaku.

Kesan retakan struktur yang dapat dikesan diperhatikan dan diambil gambar untuk dijadikan sebagai bahan rujukan untuk dianalisis dan dihubungkaitkan dengan sebarang potensi yang boleh dikaitkan dengan fenomena berbahaya, contohnya seperti kejadian pemendapan tanah. Lawatan juga tidak hanya tertumpu di dalam kawasan rumah, malah, kawasan luar dan berhampiran sekitar rumah juga diberi perhatian khusus untuk dibuat cerapan.

Pemerhatian dan cerapan yang dibuat di luar kawasan rumah menitikberatkan kawasan berkekangan geologi yang tinggi seperti kehadiran cerun yang boleh menjadi faktor pencetus pergerakan tanah bersebelahan serta masalah-masalah lain yang mungkin timbul dan boleh mengakibatkan kerosakan struktur di sekitarnya.

Di peringkat akhir lawatan, khidmat nasihat dan penerangan hasil daripada siasatan ini telah disampaikan oleh Puan Rosni. Penerangan merangkumi aspek teknikal dan persekitaran kawasan lokasi disampaikan kepada penghuni rumah terbabit bagi memberi keterangan dan kefahaman tentang kejadian retakan yang telah berlaku pada struktur rumah. Di samping itu, aspek keselamatan dan risiko juga diberi perhatian dalam perbincangan supaya penghuni rumah dapat mengambil Langkah-langkah yang sewajarnya dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh memburukkan keadaan yang telah dialami.