Majlis ‘Jasamu Dikenang” Tahun 2017 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur

Majlis ‘Jasamu Dikenang” Tahun 2017 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur

Majlis ‘Jasamu Dikenang” Tahun 2017 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur telah diadakan di Hotel Zenith Kuantan, Pahang Darul Makmur. Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) bagi meraikan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Pahang yang telah dan bakal bersara serta yang bertukar ke negeri lain. Majlis ini juga diadakan bagi meraikan kakitangan yang telah mendapat Pingat Perkhidmatan Cemerlang yang dianugerahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Kehadiran ke majlis ini bagi JMG Pahang telah diwakili oleh Dato’ Pengarah, YH Dato’ Ir Azman bin Ab. Majid serta En Shari bin Ismail, En Mohamed Hizam bin Abd. Kadir dan En. Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan.

Majlis gilang gemilang ini turut diceriakan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Datuk Haji Adnan Haji Yaakob bersama barisan-barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB SUK Pahang sendiri, tetamu-tetamu kehormat yang diraikan serta ketua-ketua jabatan dan kakitangan Jabatan Persekutuan dan Negeri.

Majlis dimulakan pada pukul 9.00 malam dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan lagu ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’ disusuli oleh persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Kesenian Pejabat SUK Pahang dan persembahan istimewa nyanyian oleh YAB Menteri Besar Pahang dengan tiga lagu nyanyian dialunkan oleh beliau. Aturcara majlis diteruskan dengan jamuan makan malam.

YB SUK Pahang seterusnya memperkenalkan dan mengumumkan nama-nama tetamu kehormat yang diraikan iaitu Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Pahang yang telah dan bakal bersara serta yang bertukar ke negeri lain. Selingan tayangan video dipancarkan bagi setiap nama-nama yang diumumkan oleh beliau. Seramai 13 Ketua Jabatan telah bersara manakala seramai 35 Ketua Jabatan bertukar. Turut diraikan dan diumumkan ialah pertukaran mantan Pengarah JMG Pahang, Dato’ Haji Mohd Zaim bin Dato’ Abd. Wahab yang dinaikkan pangkat ke Bahagian Perkhidmatan Teknikal Ipoh serta pengumuman Dato’ Ir. Azman bin Ab. Majid sebagai pengganti beliau.

YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Datuk Haji Adnan Haji Yaakob dalam ucapan hormat dan terima kasih beliau mengucapkan sepenuh penghargaan bagi pihak beliau, barisan Exco Kerajaan Negeri dan keseluruhan rakyat Pahang atas sumbangan dan khidmat Ketua-ketua Jabatan yang diraikan. Beliau mengharapkan mereka yang diraikan untuk sentiasa kekal menjaga kesihatan dan sentiasa aktif dalam sebarang aktiviti walaupun telah bersara serta mendoakan kesejahteraan bagi semua Ketua-ketua Jabatan dan semua kakitangan yang hadir pada majlis ini. Beliau juga memberi ingatan kepada semua kakitangan agar terus berkhidmat dengan cemerlang bagi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Pahang.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bagi mereka yang diraikan. Majlis bersurai pada pukul 11.30 malam.