Program Gotong Royong Perdana Membakar Lemang dan Memasak Rendang Bagi Sambutan Hari Raya Aidil Fitri JMG Pahang 2018

Program Gotong Royong Perdana Membakar Lemang dan Memasak Rendang Bagi Sambutan Hari Raya Aidil Fitri JMG Pahang 2018

Pada 27 Jun 2018, bersamaan hari Rabu, JMG Pahang telah mengadakan Program Gotong Royong Perdana Membakar Lemang dan Memasak Rendang sempena Sambutan Perayaan Hari Raya Aidil Fitri JMG Pahang 2018. Program diadakan di kawasan tempat letak kereta (belakang) JMG Pahang dan dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang. Tarikh berkenaan bersamaan hari Ke-13 Syawal, 1439 Hijrah.

Program bermula seawal 8.30 pagi. Kakitangan JMG Pahang bergotong royong menyediakan hidangan untuk sarapan pagi sebelum memulakan sesi penyediaan lemang dan memasak rendang. Sarapan pagi mee goreng turut ditambah dengan pot luck makanan sumbangan dari kakitangan JMG Pahang seperti kek, kuih raya dan buah-buahan.

P6270002

Buluh lemang telah diperolehi lebih awal dan diambil dari hutan berhampiran di kawasan Sg. Lembing, Kuantan. Sejumlah 37 batang lemang telah disediakan dengan penggunaan 15 kg beras pulut susu dan 15 kg santan. Selepas buluh lemang diisi dengan beras pulut dan santan secukup rasa, pembakaran lemang dimulakan pada pukul 12.00 tengahari. Sebahagian kakitangan JMG Pahang yang lain pula menyediakan juadah makanan tengahari dan masakan rendang untuk dinikmati bersama lemang. Sebanyak 20 kilogram daging telah dimasak rendang. Makan tengahari dihidangkan pada pukul 1.15 petang dan semua kakitangan dijemput untuk menikmati bersama.

P6270004

P6270008

Dalam cuaca yang cukup baik dan cukup panas, sesi membakar lemang tamat dan selesai pada pukul 3.30 petang. Kakitangan JMG Pahang dijemput pula menikmati hidangan lemang panas bersama rendang yang cukup lazat dan enak. Lemang dan rendang akan dihidangkan semasa Jamuan Hari Raya Aidil Fitri JMG Pahang yang dijadualkan akan diadakan pada keesokan harinya, 28 Jun 2018.

Alhamdulillah, Program Gotong Royong Perdana Membakar Lemang Bagi Sambutan Hari Raya Aidil Fitri JMG Pahang 2018 ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama erat kakitangan dan ahli keluarga yang hadir walaupun hari berkenaan merupakan hari bekerja biasa. Diharapkan silaturrahim yang erat antara kakitangan JMG Pahang akan terus dapat dipupuk dan dieratkan pada masa akan datang dan didoakan program ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan dirahmati Allah selalu.