MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN MEI 2022, MAJLIS PERSARAAN DAN TAKLIMAT BOMBA

MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN MEI 2022, MAJLIS PERSARAAN DAN TAKLIMAT BOMBA KUCHING, 26 MEI 2022 - Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak telah menganjurkan tiga majlis pada hari yang sama iaitu Majlis Perhimpunan Bulanan, Majlis Persaraan dan Taklimat Bomba secara bersemuka dengan mematuhi SOP sediada. Majlis dimulakan tepat pada pukul 8.30 pagi dengan nyanyian lagu negaraku, lagu Sarawak Ibu Pertiwiku, lagu Perkhidmatan Awam dan disusuli dengan bacaan doa. Agenda majlis dimulakan dengan ucapan perutusan oleh pegawai yang menanggung tugas (MT) Pengarah JMG Sarawak iaitu Yang Berusaha Tuan Roslan @ Setebin bin Roslan. Di dalam perutusannya, beliau telah menyentuh beberapa perkara seperti status kewangan pejabat, peringatan, makluman dan pelaporan aktiviti bulanan oleh setiap unit/aktiviti di JMG Sarawak. Usai ucapan Encik Roslan, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh MT Pengarah JMG Sarawak kepada En Yusuf Bin Bujang di atas persaraan beliau pada 26 Mei 2022. Warga JMG Malaysia Sarawak amat menghargai jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat selama 37 tahun bersama JMG.   Sejurus tamatnya majlis persaraan, majlis diteruskan lagi dengan Taklimat Keselamatan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, En Tan Min Chai yang bertajuk `Langkah Pencegahan Kebakaran’. Banyak tips dan pesanan yang  telah disampaikan oleh penceramah yang boleh dijadikan ingatan dan panduan bagi mengelak dan menghadapi kebakaran jika berlaku.   Akhir kata, JMG Sarawak sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En Yusuf Bujang di atas segala sumbangan bakti beliau khususnya kepada JMG Sarawak. Kami doakan semoga beliau berbahagia di samping keluarga tercinta dan akan dikurniakan kesihatan yang baik selepas bersara.