PERHIMPUNAN BULAN MAC 2023 JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS SARAWAK

PERHIMPUNAN BULAN MAC 2023 JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS SARAWAK KUCHING, 31 MAC 2023 - Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan di Bilik Mesyuarat Baiduri, JMG Sarawak. Majlis dimulakan tepat pada pukul 8.20 pagi dengan nyanyian lagu negaraku, lagu Sarawak Ibu Pertiwiku, lagu Perkhidmatan Awam dan disusuli dengan bacaan doa. Majlis pada kali ini telah dianjurkan oleh Unit Pentadbiran dan Kewangan diketuai oleh En Ahmad Fikri Nasuha. Agenda majlis diteruskan dengan ucapan perutusan oleh Pengarah JMG Sarawak iaitu Encik Roslan bin Rajali. Di dalam perutusannya, beliau telah mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak kepada warga JMG Sarawak yang beragama islam. Seterusnya, Pengarah juga telah mengambil peluang untuk menerangkan mengenai garis panduan tatacara pengurusan stor dan juga panduan pengemaskinian harta di dalam sistem HRMIS. Kemudian, beliau meneruskan ucapan dengan menyentuh beberapa perkara seperti status kewangan pejabat, peringatan, makluman dan pelaporan aktiviti bulanan oleh setiap Unit/aktiviti di JMG Sarawak. Seterusnya, Pengarah telah mengumumkan pegawai senior yang baru ditukarkan ke JMG Sarawak iaitu En Edward Anak Muol yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Geosains JMG Sarawak. Selain itu, JMG Sarawak telah menerima seorang pelajar latihan industri iaitu, Cik Olivia Eva Anak Apeng, yang merupakan graduan geologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS). Selamat datang dan selamat maju jaya diucapkan kepada mereka berdua. Di samping itu, JMG Sarawak juga bakal kehilangan seorang kakitangan iaitu En. Howard Dean Anak Hardin yang telah meletak jawatan. Selamat maju jaya diucapkan kepada En Howard pada masa hadapan. Akhir sekali Pengarah telah mengumumkan nama penerima APC bagi tahun 2022 JMG Sarawak yang berjumlah 9 orang. Tahniah diucapkan dan mereka akan diraikan pada perhimpunan bulan hadapan.