KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH JMGSWP KE PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH JMGSWP KE PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

SHAH ALAM, SELANGOR, - Pada hari Rabu, 31 Mac 2021, bersamaan 17 Syaaban, 1442 Hijrah, Pengarah JMG Selangor/ Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohd Zulkiflee bin Che Soh telah mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie bin Diron di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Rombongan JMGSWP turut disertai oleh En Abdul Hadi bin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Sumber Mineral), Pn. Hasnida binti Zabidi. Timbalan Pengarah (Geosains) dan En Muhammad Ezwan bin Dahlan (Ketua Unit Pengurusan Maklumat).

Kunjungan hormat kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri ini diadakan adalah sempena pelantikan pengarah JMGSWP yang baharu, disamping mengadakan perbincangan mengenai peranan dan fungsi JMG. Dato’ SUK amat berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh JMG terutamanya mengenai kajian pemetaan penilaian geotapak. Beliau juga telah dimaklumkan mengenai Potensi dan Pembangunan Sumber Unsur Nadir Bumi Bukan Radiokatif (NR-REE)  dan juga aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan geosains di Negeri Selangor.

Dato’ SUK dalam bual balas, beliau menyatakan pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka dan berminat dengan sebarang aktiviti JMG yang dapat membantu kerajaan negeri dalam pembangunan tanah. Kunjungan hormat yang berlangsung selama lebih kurang 45 minit, diakhiri dengan penyerahan cenderamata yang disampaikan oleh Pengarah JMG Sel/WP kepada Dato’ SUK yang  berupa “coffee table book” Geotapak di Malaysia dan Projek Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).