MAJLIS GAWAI RAYA 2019 ANJURAN KELAB MINERAL DAN GEOSAINS SARAWAK

MAJLIS GAWAI RAYA 2019 ANJURAN KELAB MINERAL DAN GEOSAINS SARAWAK

Kuching, 26 Jun 2019 – Majlis Gawai Raya 2019 adalah gabungan perayaan Gawai Dayak dan juga Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini diadakan di perkarangan Blok A dan Blok B dan dianjurkan oleh Kelab Mineral dan Geosains Sarawak, KMGS.

Majlis Gawai Raya 2019 pada tahun ini diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan, Tuan Haji Mohd. Zukeri bin Abd. Ghani, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta rombongan. Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia selaku Ketua Pengabang diiringi oleh Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah, Ketua Unit melalui jejantas disambut oleh tarian tradisional kaum Iban iaitu tarian ngajat. Tarian ngajat dipersembahkan oleh kakitangan jabatan iaitu En. Mengkau Ngumbang.

Selain warga JMG Sarawak, tetamu luar organisasi yang turut hadir adalah Polis Diraja Malayisia (PDRM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Ketua Menteri Tanah dan Galian Persekutuan (JKTPG).

Majlis perasmian Gawai Raya dimulakan dengan bacaan doa yang disampaikan oleh En. Mohd. Afiq bin Mohd. Atan. Perutusan alu-aluan dan perasmian telah disampaikan oleh Pengarah JMG Sarawak yang juga Pengerusi KMGS.

Selesai ucapan pembukaan, majlis merasmikan Gawai Raya 2019 secara simbolik diteruskan dengan menjemput tetamu khas, Tuan Haji Mohd. Zukeri bin Abd. Ghani, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia diiringi oleh Pengarah dan Timbalan-Timbalan Pengarah ke atas pentas. Perasmian simbolik Gawai Raya 2019 ialah acara membuka lemang kerana kesesuaian lemang yang sinonim dengan perayaan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang majlis Gawai Raya 2019, tetamu dan warga JMG dijamu dengan hidangan seperti ayam pansuh, sate, ketupat, lemang, biscuit, kuih lapis Sarawak dan lain-lain makanan tradisional Sarawak. Menu istimewa pada majlis tersebut ialah kambing golek. Di antara pengisian lain yang menarik minat tetamu dan warga JMG ialah sesi meraikan harijadi kakitangan jabatan (kelahiran pada bulan Mac, April, Mei dan Jun), karaoke, cabutan bertuah dan pakaian Gawai dan Hari Raya tercantik.

Pakaian tradisi Dayak tercantik lelaki dimenangi oleh En. Mengkau ak Ngumbang manakala pakaian tradisi Dayak tercantik wanita dimenangi oleh Pn. Lee Ching Tze. Kategori Pakaian melayu tercantik lelaki dimenangi oleh En. Pandi bin Kipli manakala pakaian tradisi melayu tercantik wanita dimenangi oleh Pn. Rosmah bte Usup.

Majlis Gawai Raya 2019 diakhiri dengan aturcara giling tikar/bidai oleh tetamu khas, pengarah dan timbalan-timbalan pengarah.

Walaupun ada di kalangan warga JMG Sarawak yang tidak berpeluang menghadiri majlis Gawai Raya ini atas sebab urusan rasmi di luar Sarawak, namun acara cabutan bertuah yang diadakan melibatkan semua kakitangan menyebabkan ketiadaan mereka tidak dirasai. Semoga aktiviti seperti ini diteruskan sampai bila-bila kerana ia mampu merapatkan silaturahim dikalangan warga JMG tanpa mengira kaum.

 

1

2

3

4

5

6

7

Written by : Marina M