PROGRAM LAWATAN KERJA MENTERI KETSA KE ASPIRING PERLIS GEOPARK

PROGRAM LAWATAN KERJA MENTERI KETSA KE ASPIRING PERLIS GEOPARK

KANGAR, 11 JANUARI 2021 (ISNIN) - Satu program lawatan kerja Menteri Tenaga dan Sumber Asli ke Aspiring Perlis Geopark telah diadakan dengan sempurna pada 10 Januari 2021.

Antara jadual Yang Berhormat Dato' Dr. Shamsul Anuar Bin Hj. Nasarah yang disusun oleh JMG Kedah / Perlis / Pulau Pinang (JMGKPP) ialah lawatan ke Geotapak Bukit Lagi dan Geotapak Bukit Jernih. Keunikan yang berjaya ditonjolkan di Geotapak Bukit Lagi ialah fitur takik laut kuno (ancient sea notch) sebagai bukti paras air laut kuno pada batu kapur Formasi Chuping berusia Perm.

Turut sama hadir dalam lawatan ke Geotapak Bukit Lagi ialah Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Tuan Azman bin Mohd Yusof dan Exco-Exco Negeri.

Delegasi pengelola lawatan pula terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang memangku tugas Ketua Pengarah JMG, Tuan Haji Hisamuddin Bin Termidi; Pengarah Cawangan Perancangan dan Pengurusan, En. Zamri Bin Ramli; Pengarah JMGKPP, Encik Abdullah bin Hj. Sulaiman dan Ketua Cawangan JMG Perlis, En. Ahmad Zamani Bin Samat.

Sesi taklimat di Geotapak Bukit Lagi disampaikan sendiri oleh Pengarah JMGKPP, En. Abdullah Bin Hj. Sulaiman.

Sesi lawatan berikutnya di Geotapak Bukit Jernih adalah yang paling istimewa kerana disertai komuniti Aspiring Perlis Geopark termasuklah warga sekolah angkat Aspiring Perlis Geopark. YB Menteri KETSA dan Exco-exco negeri dibawa melawat keunikan struktur gua, dan 'rock islands' yang kaya dengan fosil dalam batu kapur yang juga berusia Perm. Terdapat 2 anak sungai yang mengalir di dalam dan pinggi Bukit Jernih yang menjadi tempat rekreasi mandi-manda serta aktiviti perkhemahan oleh pengunjung.

Sesi taklimat gi Geotapak Bukit Jernih disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan (Pemetaan Geologi), Pn. Nur Susila Bt. Md. Saaid.

Usai sesi lawatan, YB Menteri KETSA dan dif-dif jemputan diserikan dengan persembahan penglipur lara Awang Batil yang merupakan warisan kebudayaan negeri Perlis.

Dalam sesi ucapan dan amanat, Dato' Dr. Shamsul Anuar mengumumkan peruntukan RM 600,000 bagi pembangunan makmal untuk mengkaji kepelbagaian biologi termasuklah pokok bogak dan beruk kentoi yang merupakan spesies unik di negeri Perlis. Selain itu, RM 300,000 lagi diperuntukkan untuk pembangunan kesemua geotapak lain di negeri Perlis agar penilaian Aspiring Perlis Geopark sebagai geopark kebangsaan dapat dilakukan pada tahun 2021.

Dato' Dr. Shamsul Anuar juga berpeluang melakukan demonstrasi pengimbasan kod QR Geotapak Bukit Jernih, sebagai simbolik pengiktirafan usaha kerajaan negeri dalam mendigitalkan informasi geotapak selaras dengan wawasan 'Perlis Go Digital'.