JMG SERAH TELAGA TIUB DAN SPATR KEPADA LOJI RAWATAN AIR TUPAH

JMG SERAH TELAGA TIUB DAN SPATR KEPADA LOJI RAWATAN AIR TUPAH

GURUN, 21 Disember 2021 - JMG Kedah / Perlis / Pulau Pinang hari ini mengadakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) kepada kerajaan negeri Kedah bagi kegunaan Loji Rawatan Air (LRA) Tupah di sini.

Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Pengarah JMGKPP, Tuan Abdullah Bin Hj. Sulaiman kepada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Dato Suraya Binti Yaacob mewakili kerajaan negeri Kedah.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Ketua Pengarah JMG Malaysia, Tuan Haji Hisamuddin Bin Termidi.

Telaga dan sistem penapisan ini pada asalnya telah dijadualkan untuk diserahkan lebih awal. Namun, banjir aliran puing beberapa bulan lalu telah memusnahkan sistem ini dan terpaksa dibina semula.
 
Sistem penapisan air dan telaga bernilai keseluruhan RM650,000 ini berkapasiti 0.2 MLD dan mampu menyediakan 240,000 liter air pada satu masa, serta dianggarkan dapat menampung sebanyak 1,400 isi rumah di sekitarnya.