Kejohanan Bowling Piala Pengarah JMG Johor 2012

Selepas kejayaan dalam kejohanan pertamanya pada 2011 lalu, Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan JMG Johor sekali lagi menganjurkan kejohanan bowling Piala Pengarah JMG Johor. Kejohanan bowling terbuka ini telah dilangsungkan pada 30 September 2012 bertempat di Ampang Superbowl, Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru, Johor.

Kejohanan kali ini menawarkan sejumlah RM11,300 wang tunai sebagai hadiah kemenangan dengan johan akan menerima RM4,000 tunai dan bonus kepada jatuhan tertinggi dalam satu ‘game’ sebanyak RM100. Dengan format 6 ‘game’ dan hadiah ditawarkan, kejohanan kali ini telah berjaya menarik seramai 104 penyertaan dan terpaksa dijalankan dalam 2 blok iaitu Blok A (pagi) dan Blok B (petang). Tertakluk kepada syarat, kejohanan pada kali ini menampilkan beberapa pemain handalan antaranya bekas pemain kebangsaan, negeri dan SUKMA.

Johan dengan jatuhan pin 1,327 telah dimenangi oleh En Salleh bin Mohamad dari Johor Bahru. Manakala jatuhan tertinggi iaitu 278 telah dimenangi oleh En Muhd Mizan seorang bekas pemain negeri beberapa tahun yang lalu.

Dengan sambutan yang menggalakkan ini, kejohanan ini dirancang untuk terus diadakan. Tahniah kepada En Anuar Saat sebagai Pengarah Projek dan urusetia kejohanan.