LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT TIMBALAN MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI MALAYSIA

LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT TIMBALAN MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI MALAYSIA

Pada 23 Jun 2020, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak telah menerima kunjungan lawatan kerja Yang Berhormat Tuan Ali anak Biju, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berserta rombongan.

Yang Berhormat Tuan Ali anak Biju serta rombongan telah disambut oleh Timbalan Pengarah Mineral dan Geosains Sarawak, En. Hilary Muyan Nicholas Thomas, Timbalan- Timbalan Pengarah serta pengawai-pegawai Kanan yang lain. Setibanya beliau di perkarangan jabatan, Yang Berhormat serta rombongan disambut dengan tarian ngajat Ngalu Temuai oleh Dr. Dana Badang. Yang Berhormat Timbalan Menteri berkesempatan untuk menandatangani Buku Pelawat JMG Sarawak.

Memandangkan negara masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, lawatan kerja Yang Berhormat diadakan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan di Bilik Mesyuarat Baiduri JMG Sarawak. Majlis telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan jabatan serta kakitangan-kakitangan yang merupakan penerima Anugerah Cemerlang Jabatan 2019 dan bilangan kehadiran terhad kepada 30 orang sahaja.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Lagu Perkhidmatan Awam. Bacaan doa disampaikan oleh Encik Mohamad Redzuan bin Mat. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta taklimat ringkas oleh En. Hilary Muyan Nicholas Thomas, Timbalan Pengarah Sumber Mineral yang menanggung kerja Pengarah JMG Sarawak. Taklimat beliau menyentuh tentang sejarah penubuhan jabatan, misi, visi, fungsi, peranan jabatan, tugas teras jabatan, fungsi setiap aktiviti serta pencapaian dan isu-isu semasa.

Seterusnya Yang Berhormat Timbalan Menteri dipersilakan untuk memberi ucapan. Yang Berhormat Timbalan Menteri merakamkan ucapan ribuan terima kasih atas sambutan oleh JMG Sarawak. Beliau amat tertarik dengan peranan jabatan terutamanya sumbangan jabatan kepada pembangunan negara amnya terutamanya Negeri Sarawak.

Usai ucapan Yang Berhormat, majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2019. Di antara penerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 ialah Tuan Haji Nurul Huda Bin Romli, En. John Joseph Jinap, En. Mohd. Aswandi Bin Mohd. Arif, Puan Nurul Shiema Bte Shahadan, En. Jobli Bin Abu, En. Mohd. Azhar Bin Abdullah, En. Mohd. Redzuan Bin Mat dan En. Akbar Bin Putit.

Penyampaian cenderahati yang berupa fosil kayu dari Bengoh Range, Padawan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri telah disempurnakan oleh En. Hilary Muyan Nicholas Thomas.

Seterusnya Yang Berhormat Timbalan Menteri diiringi oleh pihak pengurusan melawat ke Perpustakaan Jabatan dan Muzium Geologi. Semasa di Perpustakaan, Ketua Unit Pengurusan Maklumat menyampaikan penerangan ringkas tentang peranan dan koleksi-koleksi perpustakaan. Beliau juga berkesempatan melihat peta-peta terbitan jabatan seperti Peta Geologi, Peta Sumber Mineral, Peta Hidrogeologi, laporan-laporan yang disediakan oleh pegawai-pegawai projek serta laporan terbitan jabatan. Yang Berhormat Timbalan Menteri juga melawat Muzium Geologi di Blok B JMG Sarawak dan Ketua Aktiviti Pemetaan Geologi telah menyampaikan taklimat ringkas tentang bahan-bahan pameran, jenis batuan, mineral, fosil, model kawasan perlombongan emas Bau dan model telaga tiub.

Selepas lawatan, program diteruskan dengan Majlis Sambutan Gawai-Raya 2020 di Bilik Mesyuarat Baiduri anjuran JMG Sarawak, KMGS dan BKKI. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Mohamad Redzuan bin Mat. Seterusnya Yang Berhormat Timbalan Menteri diiringi oleh En. Hilary Muyan Nicholas Thomas, En. Nurul Huda Bin Romli dan Encik Roslan Bin Rajali untuk menyempurnakan perasmian simbolik Majlis Gawai-Raya 2020 dengan upacara memotong lemang. Selepas upacara perasmian, Yang Berhormat dan para tetamu majlis disajikan dengan pelbagai hidangan Gawai-Raya. Majlis Sambutan Gawai-Raya telah diakhiri dengan upacara ngiling tikai.

 

666666