MISTERI PAYA PEDA AKHIRNYA TERDEDAH

Empangan Paya Peda yang bernilai RM333 juta merupakan Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA)  yang dijangka bukan sahaja membekalkan pengairan kepada 8,000 petani di kawasan Besut tetapi membuka misteri penemuan geologi yang penting di Malaysia dengan penemuan fosil yang dianggarkan berusia antara 360 - 270 juta tahun (Period Karbon - Awal Permian).

Hasil kajian mendapati kawasan Paya Peda pada satu ketika dahulu merupakan kawasan paya air tawar yang luas, akhirnya mengalami proses pemampatan menjadikannya berlapis-lapis. Fosil tersebut merupakan tumbuhan asli dan terenap di situ kerana ia tumbuh di kawasan itu dan bukannya dipindahkan dari tempat lain. Perlapisan batuan syal berkarbon - batu pasir - batu pasir bertuf di kawasan ini menunjukkan keunikan geologi yang mana keadaan ini berlaku di dalam jujukan berulang. Bukti pengangkatan tektonik di kawasan ini yang mana menunjukkan pada masa Karbon, kawasan ini merupakan paya berair tawar dan telah terangkat kepada ketinggian kini sekitar 150-200m.

Lawatan bersejarah ke tapak fosil ini yang diketuai oleh Ketua Pengarah JMG, Dato’ Yunus Abdul Razak yang membawa wakil media ke lokasi penemuan pada 27 Januari 2014 untuk menyampaikan maklumat penemuan ini kepada orang ramai. Penemuan fosil ini pada permulaannya oleh ahli kajibumi projek pembinaan, Mohd Zaidi Mohd Yah pada 2011 membongkarkan misteri yang tersimpan yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil perhatian. Penemuan ini menarik minat terutama kepada pengkaji fosil termasuk pakar paleontologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Mohd. Syafeea Leman yang turut sama berada di lapangan tersebut. Pengarah JMG Terengganu bersama pegawai Geosains daripada JMG Kelantan dan Terengganu turut sama hadir untuk menilai perancangan penelitian fosil tersebut dengan lebih lanjut.

Antara genus yang ditemui setakat ini ialah dari jenis dedaun yang dikenali dengan nama saintifiknya Pecopteris, Tinggia, Lepidodendron, Sigillaria, Sphenophyllum, Neurotepris dan Cordaites selain bahagian bunga atau organ pembiakan dikenali sebagai Lepidostrobos, bahagian akar Stigmaria dan batang Artisia horizontallis.

Dengan penemuan itu JMG akan mengambil langkah awal untuk  mewartakan kawasan itu bagi mengelakkan ia dirosakkan. Kajian lanjut seperti pemetaan, stratigrafi dan paleontologi akan dijalankan supaya penemuan tersebut akan menjadi suatu titik permulaan bagi mencari dan membuktikan kewujudan dinosour di Malaysia. Antara jenis fosil haiwan yang pernah hidup di zaman tersebut ialah ikan, serangga, reptilia dan amfibia. Keadaan ini memungkinkan dinosaur pernah menjelajah di Malaysia berdasarkan bukti daripada kajian kawasan ini dan di beberapa kawasan lain di negara ini yang mana batuannya berusia Jura-Kapur (203 juta hingga 65 juta tahun) dan mempunyai daratan yang sesuai untuk haiwan purba berkenaan hidup.