MODUL GEOSEKOLAH TINGKAT KESEDARAN PELAJAR MENGENAI KEUNIKAN LENGGONG

MODUL GEOSEKOLAH TINGKAT KESEDARAN PELAJAR MENGENAI KEUNIKAN LENGGONG

16 JUN 2023 (JUMAAT) : Modul Geosekolah yang meliputi kelas teori asas geologi dan psikologi serta lawatan lapangan ke lima geotapak mampu meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang keunikan Lenggong serta sumber mampannya. Modul program kesedaran awam dan pendidikan itu merupakan yang pertama di negara ini dan diwujudkan di bawah Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark. Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) terlibat secara langsung membangunkan modul itu di bawah Kluster Kesedaran Awam Kumpulan Sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diketuai Pejabat Pendidikan Hulu Perak. Katanya, modul tersebut merupakan modul pertama dibangunkan di Malaysia di mana belum pernah lagi dilaksanakan di mana-mana geopark di negara ini.

“Kita berhasrat mengembangkan modul Geosekolah ini ke peringkat seterusnya iaitu menengah dan peringkat pengajian tinggi. “Ketika ini sekolah yang terlibat dalam program ini adalah sekolah-sekolah di kawasan Lenggong Geopark iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lenggong, SK Gelok, SK Lubok Kawah, SK Luat, SK Raban, SK Bukit Balai dan SK Ganda Temenggor. “Selain itu, SK Tan Sri Ghazali Jawi turut terlibat bersama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kota Tampan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kota Lima dan SK Bukit Sapi,” katanya pada Majlis Penutup ‘Traning of Trainers’ (TOT) Modul Geosekolah peringkat sekolah rendah di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, program itu melibatkan tenaga pengajar dari Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) dan pakar-pakar geopark dari JMG Perak dan Penasihat Lenggong Geopark, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin. Katanya, Geosekolah menyediakan pembelajaran di luar bilik darjah yang sangat baik untuk mengajar pelbagai kemahiran, membangunkan pemahaman tentang persekitaran semula jadi dan konsep penting dalam sains alam sekitar. “Program ini melibatkan kelas teori asas geologi dan psikologi serta lawatan lapangan ke lima geotapak di dalam Lenggong Geopark iaitu Geotapak Sentuhan Granit Lata Kekabu, Geotapak Landskap Tasik Raban, Tapak Geoarkeologi Gua Kajang, Geotapak Gunung Berapi Debu Toba dan Geotapak Hentaman Bukit Bunuh serta Galeri Lenggong Geopark di Kota Tampan. “Beberapa aktiviti menarik dijalankan sepanjang seperti projek geologi mudah di mana projek ini memberi gambaran sebenar proses geologi secara mudah difahami. “Melalui aktiviti ini, peserta dapat pengalaman mengintegrasikan pengetahuan yang diperolehi di dalam kelas dengan realiti di lapangan,” katanya.