Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Ceramah Kemerdekaan JMG Pahang 2020

Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Ceramah Kemerdekaan JMG Pahang 2020

Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Ceramah Kemerdekaan JMG Pahang 2020   

 

Oleh : Mohammad Aznawi b Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

 

Pada 28 Ogos 2020, bersamaan hari Jumaat, 9 Muharam 1442H, telah berlangsung Program Sambutan Hari Kemerdekaan 2020 JMG Pahang. Seperti tahun-tahun sebelum ini, bangunan JMG Pahang telah dihias indah dengan motif dan bendera Malaysia serta Pahang sepanjang bulan kemerdekaan pada Ogos dan Hari Malaysia pada September. Program ini merupakan program perhimpunan bulanan setiap bulan yang telah diatur oleh JMG Pahang pada awal tahun dan merupakan perhimpunan bulanan pertama JMG Pahang pasca fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik COVID-19.

 

Aturcara program perhimpunan bermula pada pukul 8.30 pagi dengan semua kakitangan berkumpul untuk sesi bergambar di ruang legar tingkat bawah JMG Pahang. Selaras dengan keperluan pematuhan norma baharu dan SOP COVID-19 yang ditetapkan, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan terutama melibatkan penjarakan fizikal dan sosial.

 

Pengacara majlis perhimpunan bulanan kali ini ialah En Amir Ariff Najmuddin b Abdul Manan, pelajar Latihan Industri JMG Pahang dari Universiti Teknologi Petronas (UTP). Program dimulakan dengan bacaan doa oleh En Mohd Yusof b Idris, Pembantu Geosains Unit Sumber Mineral, diikuti dengan bacaan Ikrar Penjawat Awam oleh En Muhammad Faris  Afnan b Hashim, Pembantu Geosains, Unit Sumber Mineral. Ia diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Allah Selamatkan Sultan Kami (Lagu Pahang) dan lagu Tanggal 31 Ogos yang dipopularkan oleh seniman Allahyarham Dato’ Sudirman b Hj Arshad, bersempena sambutan bulan kemerdekaan JMG Pahang. Kakitangan JMG Pahang telah bersama-sama menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh bersemangat, meriah dan penuh takzim.

 

Program diteruskan dengan ucapan Timbalan Pengarah Geosains JMG Pahang, En Mohamad Sari b Hasan yang menggantikan Tuan Pengarah yang tidak dapat hadir pada pagi tersebut atas urusan rasmi lain.  Beliau memulakan ucapan dengan menyampaikan salam hormat penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan yang hadir walaupun dalam norma baharu PKPP yang ditetapkan dan kesibukan tugas semasa semua kakitangan. Beliau seterusnya menyampaikan beberapa amanat dan pesanan berkaitan tugasan sebagai penjawat awam yang memerlukan kerja secara berpasukan dan kerjasama erat sesama kakitangan bagi memastikan kejayaan perkhidmatan sesuatu jabatan. Beliau juga turut berkongsi pengalaman manis beliau semasa berkhidmat di beberapa negeri sebelum ini dan seterusnya di Pahang, yang boleh diambil iktibar dan pengajaran pengalaman bersama oleh semua kakitangan JMG Pahang.

 

Program selanjutnya diteruskan dengan Ceramah Kemerdekaan bertajuk Erti Kemerdekaan Bagi Insan Bergelar Hamba yang disampaikan oleh Ustaz Soffian b Abdul Aziz. Berasal dari Dungun, Terengganu dan bertugas selaku Pengetua Sekolah Rendah Agama Ibnu Abbas (SeRIA), Permatang Badak, Kuantan, beliau merupakan lulusan Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Beliau antara lain telah membincangkan dan membawa para hadirin untuk berfikir dan bertaaruf berkenaan maksud sebenar kemerdekaan dan fungsi, peranan serta tanggungjawab umat manusia sebagai hamba Tuhan Yang Esa. Ceramah dan kupasan menarik beliau kemudiannya disudahi dengan sesi soal jawab beberapa persoalan dan kemusykilan agama oleh kakitangan JMG Pahang.

 

Program diteruskan dengan sesi tayangan video aktiviti-aktiviti di JMG Pahang sepanjang 2020, yang disediakan Unit Pengurusan Maklumat, diikuti dengan penyampaian hadiah Pertandingan Putera dan Puteri Kemerdekaan, berdasarkan pakaian kakitangan JMG Pahang yang paling menarik dan relevan bertemakan Hari Kemerdekaan Malaysia. En Amir Ariff Najmuddin b Abdul Manan dan Puan Siti Norhayati bt Hizali telah berjaya memenengi gelaran itu pada tahun 2020 ini dengan hadiah telah disampaikan oleh Tuan Pengarah, En Nurul Huda b Romli yang baru hadir ke majlis selepas pulang dari mesyuarat rasmi luar.

 

Program disambung dengan sesi pengenalan kakitangan baharu JMG Pahang. Ia dimulakan dengan pengenalan oleh Pengarah JMG Pahang yang baharu, En Nurul Huda b Romli yang sebelum ini bertugas di JMG Sarawak. Beliau sempat menyampaikan beberapa amanat ringkas awalan beliau untuk perhatian semua kakitangan JMG Pahang. Majlis kemudian diikuti oleh pengenalan En Muhammad Faris Afnan b Hashim, Pembantu Geosains Unit Sumber Mineral yang berasal dar Kelantan, Cik Nabilah bt Mohd Khair, Pegawai Sambilan Harian berasal dari Kedah dan pelajar-pelajar Latihan Industri JMG Pahang dari UTP, Cik Siti Nor Fatihah bt Suhaimi dan diakhiri oleh En Amir Ariff Najmuddin b Abdul Manan.

 

Program diteruskan dengan acara memotong kek harijadi yang tertangguh selama fasa PKP akibat pandemik COVID-19, bagi kakitangan yang dilahirkan pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos 2020.

 

Majlis kemudiannya ditangguhkan dengan jamuan makan tengahari pada pukul 12.30 tengahari.

 

Semoga program yang dilaksanakan ini juga dapat sentiasa menambah baik kesepakatan, kerjasama dan silaturrahim yang erat antara kakitangan dan terus menambahkan keceriaan tugasan kakitangan JMG Pahang secara khususnya.

 

- Sekian -

Written by : aznawi