4 Makmal, 1 Matlamat – Malaysia Menuju Standard Global REE

4 Makmal, 1 Matlamat – Malaysia Menuju Standard Global REE

IPOH, 13 Mei 2025: Beberapa makmal analsis Unsur Nadir Bumi (REE) maju setapak lagi di pentas antarabangsa apabila terlaksana satu projek kerjasama antara makmal-makmal analisis REE di Malaysia dan luar negara di dalam ISO WD 19456 Round Robin Project. Projek adalah bertujuan untuk melaksanakan kerjasama di dalam melaksanakan analisis REE secara bersama dengan menggunakan teknik dan peralatan ICPMS yang berbeza. Hasilnya akan digunakan untuk menilai keupayaan makmal masing-masing di dalam analsis REE dan matlamat akhir adalah untuk membangunkan kaedah analisis standard di peringkat antarabangsa.

Sebanyak sepuluh buah makmal terlibat di mana enam adalah makmal luar negara dan empat makmal dari Malaysia. Makmal-makmal REE Malaysia yang terlibat telah diketuai oleh Lynas Malaysia. Makmal-makmal lain adalah Makmal BPT, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia; Terra Mineral Lab dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak.

Mesyuarat kali yang pertama telah diadakan di Makmal BPT, JMG Ipoh pada 13 Mei 2025. Lynas telah di ketuai oleh Cik Hawatullaila Baharuddin, manakala Makmal JMG diwakili oleh En. Mohd Zahar Ibrahim dan Puan Tamil Arasi a/p Ganasan, Puan Noorhafizah dan Cik Ain Munirah dari Terra Mineral Lab dan Prof. Dr. Mohamad Azmi dan Puan Wan Suzaini Wan Hamzah dari Universiti Teknologi Petronas.

 Dengan kerjasama ini diharapkan agar,

  1. Hasil analisis REE dari setiap makmal menjadi seragam, tepat dan boleh dipercayai, sejajar dengan piawaian antarabangsa seperti ISO WD19456.

  2. Kerjasama ini boleh membuktikan bahawa makmal-makmal Malaysia berkemampuan dan setara dengan makmal antarabangsa, membuka peluang untuk lebih banyak penglibatan dalam projek penyelidikan atau pemantauan global berkaitan REE.

  3. Melalui usaha bersama, ia akan memperkukuh kapasiti teknikal, sumber manusia, dan keupayaan makmal tempatan dalam menangani cabaran analisis REE secara lebih sistematik dan profesional.

  4. Data yang sah dan boleh dipercayai daripada makmal-makmal ini akan menjadi asas penting dalam membantu kerajaan merangka dasar pembangunan REE yang mampan dan berintegriti.

  5. Apabila makmal tempatan dapat menghasilkan keputusan analisis REE yang sejajar dengan standard antarabangsa, ini akan meningkatkan keyakinan pihak industri dan pelabur terhadap kebolehlaksanaan projek REE di Malaysia.

  6. Dapat memupuk semangat perkongsian kepakaran, latihan silang dan pembangunan kapasiti berterusan antara makmal-makmal berbeza.