Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak mengesahkan bunyi letupan dan gegaran yang dilaporkan berlaku kira-kira 10.30 pagi tadi bukan disebabkan oleh aktiviti letupan kuari.
Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, aktiviti itu hanya boleh dilaksanakan bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.
“Berhubung kejadian gegaran yang dilaporkan berlaku sekitar 10.30 pagi tadi, hasil semakan JMG Perak menunjukkan tiada aktiviti letupan kuari yang berlaku sekitar waktu itu.
“Aktiviti letupan kuari tidak dibenarkan dilaksanakan di luar waktu itu,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pagi tadi.
Abang Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan.
Pada 21 Oktober tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira jam 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat. – Bernama