PROGRAM MENDAKI BUKIT DINDING

PROGRAM MENDAKI BUKIT DINDING

Sempena Bulan Sukan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Mineral dan Geosains melalui Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Ibupejabat dan Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Selangor/W. Persekutuan telah mengadakan Program Hiking @ Bukit Dinding pada 12 Oktober 2024.

Program ini telah mendapat penyertaan seramai 50 peserta dari pelbagai agensi di bawah NRES.

Perasmian dan pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JMG Datuk Hj. Zamri bin Ramli. Sepanjang penganjuran program ini JMG telah mendapat kerjasama yang baik dari Friends of Bukit Dinding.

Jarak keseluruhan hiking ini sekitar 7km meliputi jalan berturap dan denai membolehkan peserta melihat pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur di puncak Bukit Dinding.

BENGKEL PENYELARASAN DATA TELAGA TIUB SUMBER AIR BAWAH TANAH (GIS) 2024

BENGKEL PENYELARASAN DATA TELAGA TIUB SUMBER AIR BAWAH TANAH (GIS) 2024

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berperanan untuk mengenalpasti potensi sumber air bawah tanah bagi menyokong permintaan bekalan air bersih yang semakin meningkat. Sumber air bawah tanah juga amat diperlukan terutama di kawasan-kawasan sensitif untuk tindakbalas bantuan pengawalan bencana geologi seperti pencegahan dan pengawalan kebakaran tanah gambut. Pengurusan sumber air bawah tanah yang komprehensif akan menjamin sumber bekalan air bersih yang berterusan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kesejahteraan persekitaran.

Sebagai agensi tunjak yang berperanan yang mengendali penyiasatan sumber air bawah tanah secara sistematik, JMG telah membangunkan MyGEMS (Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia), iaitu pangkalan data spatial geosains dan sumber mineral negara. Antara komponen utama MyGEMS adalah maklumat berkaitan sumber air bawah tanah seperti data-data telaga tiub.

Sehubungan dengan itu, Kumpulan Teras Hidrogeologi JMG dengan kerjasama Unit Pembangunan Modal Insan (PMI) Ibu Pejabat JMG, dan JMG Negeri Kelantan (JMG Kelantan) telah menganjurkan
Bengkel Penyelarasan Data Telaga Tiub Sumber Air Bawah Tanah (GIS) JMG 2024 bertujuan untuk menyelaras, mengemaskini data telaga tiub dan melatih para pegawai JMG dalam penggunaan teknologi GIS dalam pengurusan maklumat. Bengkel tersebut telah diadakan bertempat di Auditorium Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 24 hingga 26 September 2024.

Seramai 40 orang peserta dari pelbagai cawangan pejabat JMG seluruh negara yang terlibat secara langsung dengan pengurusan sumber air bawah tanah telah menghadiri bengkel tersebut. Selain itu, pakar dalam bidang ukur dan geomatik daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Kelantan (JUPEM Kelantan) turut diundang bagi memberikan kuliah dan khidmat nasihat berkaitan perkembangan sistem koordinat, datum dan unjuran dalam usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi GIS ini.

Sesi latihan praktikal turut diadakan bagi melatih peserta menggunakan aplikasi GIS untuk mengemaskini dan menyusun data telaga tiub. Sesi ini bertujuan memperkasakan peserta dengan kemahiran teknikal yang diperlukan. Setelah itu, para peserta turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan data telaga tiub di kawasan masing-masing. Setiap kumpulan kemudian membuat pembentangan hasil perbincangan.

Bengkel tersebut telah berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai pentingnya penyelarasan data telaga tiub perlu dilakukan. Di samping itu, telah memahirkan para peserta berkaitan penggunaan teknologi GIS. Penyeragaman format unjuran dan datum data telaga tiub juga akan memudahkan perkongsian maklumat sumber air bawah tanah kepada orang awam. Seterusnya dapat menyediakan pelan pengurusan yang lebih cekap berkaitan maklumat sumber air bawah tanah di masa hadapan.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN, SEPTEMBER 2024 JMGSWP

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN, SEPTEMBER  2024 JMGSWP

SHAH ALAM, 27 September 2024 – Jabatan Mineral dan Geosains Selangor/Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Bulan September 2024.  Majlis perhimpunan pada kali ini juga diserikan dengan Sesi Perkongsian Ilmu yang menarik oleh Prof. Dr. Azman Abd. Ghani dari Jabatan Geologi Universiti Malaya yang menyampaikan taklimat berkenaan kajian Petrografi kawasan kajian unsur nadir bumi di Kerling dan Batang Kali, Hulu Selangor serta taklimat kajian sumber mineral dari Batuan Granit di Negeri Selangor.

PROGRAM BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015 TAHUN 2024: TAKLIMAT PERSEDIAAN AUDIT DALAMAN MS ISO 9001:2015 DAN BENGKEL PENGURUSAN RISIKO

PROGRAM BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015 TAHUN 2024: TAKLIMAT PERSEDIAAN AUDIT DALAMAN MS ISO 9001:2015 DAN BENGKEL PENGURUSAN RISIKO
IPOH, 25 - 26 SEPTEMBER – Sempena Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 sepanjang bulan September ini, satu Taklimat Persediaan Audit Dalaman dan Bengkel Pengurusan Risiko telah diadakan selama 2 hari bermula semalam melibatkan semua pelaksana MS ISO 9001:2015 bagi skop perkhidmatan ujian batu dimensi (UBD) dan ujian pemprosesan mineral (UPM) di Pusat Penyelidikan Mineral.
Taklimat Persediaan Audit Dalaman MS ISO 9001:2015 telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd. Syahrir bin Mohd. Rozi selaku Ketua Juruaudit PPM. Melalui taklimat ini, diharapkan dapat membantu para pelaksana ISO untuk memahami dan bersedia menghadapi proses audit dalaman dan luaran nanti yang akan berlangsung pada Oktober dan November nanti.
Turut diadakan selepas taklimat ini ialah Bengkel Pengurusan Risiko yang merupakan acara tahunan yang diadakan bertujuan mengkaji semula isu dan punca risiko dan tindakan-tindakan kawalan yang perlu dibuat berkaitan dengan pelaksanaan skop perkhidmatan ujian di PPM yang mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2015.
Bengkel ini dimulai dengan taklimat daripada En. Mohd. Idham bin Mustaffar selaku Pegawai Dokumen MS ISO 9001:2015 PPM. Kemudian para pelaksana dibahagikan kepada kumpulan mengikut skop perkhidmatan UBD dan UPM di samping kumpulan sokongan yang terlibat iaitu kewangan, latihan dan promosi. Bengkel kemudian diakhiri dengan pembentangan daripada setiap wakil kumpulan.
Bengkel Pengurusan Risiko ini menjadi acara penutup kepada program Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 yang telah diadakan pada sepanjang bulan September pada setiap tahun.