Perhimpunan Bulanan Oktober 2020

Perhimpunan Bulanan Oktober 2020

SEREMBAN, 23 Oktober 2020 - Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Oktober 2020 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jurassic JMG NSM. Perhimpunan Bulanan ini diadakan dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Seramai 30 kakitangan telah menghadiri perhimpunan bulanan pada kali ini. Antara program yang telah diadakan adalah Ucapan Pengarah, Taklimat REE dan Perasmian Sambutan Hari Inovasi peringkat JMG NSM bagi tahun 2020. 

Baca selanjutnya

SEPTEMBER BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015

SEPTEMBER BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 30 September 2020. Buat julung kalinya Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP) PPM telah menganjurkan program Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 sepanjang bulan September ini. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada semua kakitangan PPM dan sebagai satu program hebahan bahawa PPM telah berjaya mendapat pengiktirafan dalam pelaksanaan MS ISO 9001:2015 bagi dua skop perkhidmatan iaitu Ujian Batu Dimensi (UBD) dan Ujian Pemprosesan Mineral (UPM). Program ini dimulakan dengan Majlis Perasmian Pelancaran Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 pada 10 September yang lalu, bertempat di Dataran PPM. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan PPM, YBrs Dr. Nazwin binti Ahmad.

Pelbagai program dan aktiviti menarik telah diadakan bersempena dengan bulan kesedaran ini. Antaranya ialah Taklimat dan Kuiz Kesedaran MS ISO 9001:2015, Taklimat Kepentingan Latihan Untuk Kakitangan Awam, Bengkel Penyediaan Buku Latihan Dalaman, Taklimat Audit Dalaman dan Persiapan Audit, Taklimat Pengurusan Fail dan Bengkel Pengurusan Risiko MS ISO 9001:2015. Taklimat-taklimat ini telah disampaikan secara dalaman oleh pegawai penyelidik PPM.

Manakala Taklimat Asas Keselamatan Sinaran dan Taklimat Keselamatan Makmal telah disampaikan oleh pegawai dari Agensi Nuklear Malaysia dan Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT). Ceramah Motivasi dan Bagaimana Menangani Tekanan di Tempat Kerja telah disampaikan oleh Kaunselor dari Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) dan ceramah Integriti telah disampaikan oleh pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Unit Latihan PPM selaku urusetia telah memastikan agar kesemua program yang diadakan ini dijalankan mengikut SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian penutup muka dalam kalangan peserta seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Bersekali dengan Perhimpunan Bulanan Bersama Pengarah bagi bulan September yang telah diadakan pada 30 September 2020 yang lalu, diadakan juga majlis perasmian penutup bagi program Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 ini oleh Pengarah Kanan PPM. Dalam ucapannya, YBrs Pengarah Kanan telah menzahirkan ucapan terima kasih bagi Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP) kerana telah menganjur dan menjayakan pelbagai jenis program bersempena dengan bulan kesedaran ini.

Diharapkan melalui pelaksanaan bulan kesedaran ini dapat memberi kesedaran dan galakan kepada semua kakitangan jabatan untuk menjadi lebih peka dan cakna terhadap perkhidmatan MS ISO 9001:2015 di PPM dan seterusnya memajukan institusi penyelidikan di PPM. Seterusnya dengan adanya program sebegini, PPM juga dapat menguar-uarkan perkhidmatan MS ISO 9001:2015 kepada kakitangan JMG serta para pelawat yang berkunjung ke PPM sebagai satu alternatif bagi mempromosi perkhidmatan MS ISO 9001:2015 oleh kerana kekangan disebabkan pandemik covid-19 yang melanda dunia pada masa ini.

Di samping itu, program ini juga dapat membantu kumpulan pelaksana MS ISO 9001:2015 di PPM bersedia dan lebih berkeyakinan untuk menghadapi audit dalaman dan luaran yang dijangka pada bulan November dan Disember ini.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Ringkas dan Doa Selamat JMG Pahang Okt 2020

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Ringkas dan Doa Selamat  JMG Pahang Okt 2020

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Ringkas dan Doa Selamat  JMG Pahang Okt 2020

Oleh : Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

 

Pada 16 Oktober 2020, bersamaan Hari Jumaat, 28 Safar 1442H, JMG Pahang telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Ringkas dan Doa Selamat di bilik serbaguna tingkat bawah bangunan JMG Pahang dan telah dihadiri oleh kakitangan JMG Pahang yang beragama Islam. Majlis dianjurkan oleh Unit Pentadbiran dan Kewangan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan (KESKEPA) JMG Pahang.

 

Sebelum bacaan yasin dan tahlil dimulakan, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh Tn Hj Shari bin Ismail, Timbalan Pengarah Unit Sumber Mineral JMG Pahang yang berkongsi serba sedikit nasihat dan pengetahuan ilmu agama beliau kepada para hadirin.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan yasin secara beramai-ramai para hadirin, diikuti oleh tahlil ringkas dan diakhiri dengan bacaan doa selamat olen En Hazami bin Abdullah, Pembantu Geosains Unit Geosains JMG Pahang.

 

Pengarah JMG Pahang, Tn Hj Nurul Huda bin Hj Romli kemudiannya mempersilakan para hadirin untuk menikmati sedikit jamuan ringan yang disediakan.

 

Alhamdulillah, majlis ini telah dapat dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama kakitangan JMG Pahang yang hadir. Didoakan semua kakitangan JMG Pahang akan sentiasa dipermudahkan Allah dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab hakiki serta kehidupan seharian masing-masing…Amin…

 

 

- sekian -

 

Kunjungan Hormat Pengarah JMG Pahang kepada Menteri Besar Pahang Oktober 2020

Kunjungan Hormat Pengarah JMG Pahang kepada Menteri Besar Pahang Oktober 2020

Kunjungan Hormat Pengarah JMG Pahang kepada Menteri Besar Pahang

Oleh : Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Pada 12 Oktober 2020, bersamaan 24 Safar 1442 Hijrah, Pengarah JMG Pahang, Tn Hj Nurul Huda bin Romli telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Seri Pahang, Kuantan. Rombongan Pengarah JMG Pahang turut disertai oleh Tn Hj Shari bin Ismail, Timbalan Pengarah Unit Sumber Mineral, En Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan, Ketua Unit Pengurusan Maklumat dan En Zainal Abidin bin Jamaluddin selaku Pegawai Geosains Kanan (Hidrogeologi) JMG Pahang. 

Tujuan utama kunjungan hormat kepada Menteri Besar ini diadakan ialah bagi pemakluman dan pengenalan secara rasmi kepada Dato’ Sri Menteri Besar berkenaan perlantikan Tn Hj Nurul Huda bin Romli selaku Pengarah JMG Pahang mulai 3 Ogos 2020 bagi menggantikan Dato' ’Ir Hj Azman bin Ab. Majid yang memilih untuk bersara secara pilihan mulai Oktober 2020.

 Pengarah JMG Pahang, Tn Hj Nurul Huda bin Romli, dalam sesi pengenalan mesra beliau telah memperkenalkan diri, beserta ahli-ahli rombongan JMG Pahang lain yang hadir. Beliau turut mengambil peluang untuk membentangkan beberapa aspek tugasan hakiki, kerja semasa  dan fungsi jabatan serta pendekatan dan wawasan kerja beliau selaku Pengarah JMG Pahang yang baharu kepada Dato’ Sri Menteri Besar.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail dalam bual balas beliau menyatakan tentang beberapa isu dan permasalahan terbaharu berkaitan sektor pencemaran yang berleluasa di beberapa kawasan khususnya di kawasan pembukaan tanah berskala besa yang sentiasa di dalam perhatian beliau, seperti di kawasan Jelai dan Sg Temau, Lipis, beberapa kawasan di Raub dan Chini di Pekan, yang berkemungkinan berkait industri perlombongan secara haram atau tidak sah. Walaupun perlombongan haram bukan di bawah bidang kuasa JMG, beliau mencadangkan satu sistem pemantauan dirancang dan dibuat, prosedur sentiasa dipastikan dipatuhi dan jabatan sentiasa “follow up” atas kerja yang diatur dan dilaksanakan. Beliau juga menyarankan agar tugasan kerja dibuat secara satu persatu dan JMG Pahang sentiasa fokus dengan suatu tindakan terutama berkaitan penguatkuasaan undang-undang perlombongan.  

Pengarah JMG Pahang dalam maklum balas beliau menyatakan beliau selaku Pengarah JMG Pahang akan melihat dan memperincikan beberapa pandangan dan cadangan baik yang diutarakan oleh Dato’ Sri Menteri Besar, Beliau mengambil kesempatan turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail atas kesudian menerima kehadiran beliau dan rombongan dari JMG Pahang, walaupun dal;am kesibukan tugasan harian beliau

Kunjungan hormat kepada Dato’ Sri Menteri Besar yang berlangsung selama lebih 40 minit ini diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata dari pihak JMG Pahang kepada Dato’ Sri Menteri Besar dalama bentuk beberapa buku Laporan Terbaharu JMG Malaysia. Ini kiemudiannya disusuli pula oleh penyampaian cendera kenangan dari Dato’ Sri Menteri Besar kepada Pengarah JMG Pahang dan ahli-ahli rombongan beliau. Terima kasih Dato’ Sri.

Semoga kunjungan hormat JMG Pahang ke Pejabat Menteri Besar Pahang ini akan terus mengeratkan perhubungan dan kerjasama JMG Pahang selaku entiti Kerajaan Persekutuan dengan Pejabat Menteri Besar Pahang khususnya, serta Kerajaan Negeri Pahang amnya di bawah pimpinan Dato’ Sri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail…Insha Allah…

 

- sekian -