Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berperanan untuk mengenalpasti potensi sumber air bawah tanah bagi menyokong permintaan bekalan air bersih yang semakin meningkat. Sumber air bawah tanah juga amat diperlukan terutama di kawasan-kawasan sensitif untuk tindakbalas bantuan pengawalan bencana geologi seperti pencegahan dan pengawalan kebakaran tanah gambut. Pengurusan sumber air bawah tanah yang komprehensif akan menjamin sumber bekalan air bersih yang berterusan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kesejahteraan persekitaran.
Sebagai agensi tunjak yang berperanan yang mengendali penyiasatan sumber air bawah tanah secara sistematik, JMG telah membangunkan MyGEMS (Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia), iaitu pangkalan data spatial geosains dan sumber mineral negara. Antara komponen utama MyGEMS adalah maklumat berkaitan sumber air bawah tanah seperti data-data telaga tiub.
Sehubungan dengan itu, Kumpulan Teras Hidrogeologi JMG dengan kerjasama Unit Pembangunan Modal Insan (PMI) Ibu Pejabat JMG, dan JMG Negeri Kelantan (JMG Kelantan) telah menganjurkan
Bengkel Penyelarasan Data Telaga Tiub Sumber Air Bawah Tanah (GIS) JMG 2024 bertujuan untuk menyelaras, mengemaskini data telaga tiub dan melatih para pegawai JMG dalam penggunaan teknologi GIS dalam pengurusan maklumat. Bengkel tersebut telah diadakan bertempat di Auditorium Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 24 hingga 26 September 2024.
Seramai 40 orang peserta dari pelbagai cawangan pejabat JMG seluruh negara yang terlibat secara langsung dengan pengurusan sumber air bawah tanah telah menghadiri bengkel tersebut. Selain itu, pakar dalam bidang ukur dan geomatik daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Kelantan (JUPEM Kelantan) turut diundang bagi memberikan kuliah dan khidmat nasihat berkaitan perkembangan sistem koordinat, datum dan unjuran dalam usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi GIS ini.
Sesi latihan praktikal turut diadakan bagi melatih peserta menggunakan aplikasi GIS untuk mengemaskini dan menyusun data telaga tiub. Sesi ini bertujuan memperkasakan peserta dengan kemahiran teknikal yang diperlukan. Setelah itu, para peserta turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan data telaga tiub di kawasan masing-masing. Setiap kumpulan kemudian membuat pembentangan hasil perbincangan.
Bengkel tersebut telah berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai pentingnya penyelarasan data telaga tiub perlu dilakukan. Di samping itu, telah memahirkan para peserta berkaitan penggunaan teknologi GIS. Penyeragaman format unjuran dan datum data telaga tiub juga akan memudahkan perkongsian maklumat sumber air bawah tanah kepada orang awam. Seterusnya dapat menyediakan pelan pengurusan yang lebih cekap berkaitan maklumat sumber air bawah tanah di masa hadapan.