Perak mahu mengorak langkah lebih jauh dalam industri elemen mineral nadir bumi (REE) dengan meneroka kerjasama bersama pemain industri itu di Eropah termasuk Perancis.
Melalui lawatan rasmi yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ke Perancis, Selasa lalu, delegasi negeri dibawa melawat dan meninjau kemudahan fasiliti berteknologi tinggi dan komprehensif bagi pemprosesan REE milik syarikat terkemuka, Solvay di La Rochelle, Perancis.
Kilang Solvay adalah salah satu fasiliti utama di Eropah yang memiliki keupayaan untuk mengasingkan kesemua elemen mineral nadir bumi termasuk kategori heavy rare earth elements (HREE), menjadikannya antara pemain global penting dalam ekosistem pemprosesan REE.
Selain meneroka potensi pelaburan ke Perak, delegasi turut diberi taklimat menyeluruh mengenai operasi Solvay dan berpotensi pelaburan masa hadapan yang boleh dimanfaatkan negeri.
Saarani berkata, sebagai negeri perintis dan satu-satunya negeri yang telah berjaya melaksanakan Projek Perintis Perlombongan REE, Perak telah giat membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri REE di Malaysia.
“Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk turut terlibat secara langsung dalam industri pertengahan ini, dengan matlamat untuk membangunkan dan mempertingkatkan teknologi sedia ada bersama pemain industri antarabangsa.