TASKFORCE JMG JOHOR MENYERTAI OPERASI MENCEGAH KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI MUKIM AYER HITAM, MUAR, JOHOR

TASKFORCE JMG JOHOR MENYERTAI OPERASI MENCEGAH KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI MUKIM AYER HITAM, MUAR, JOHOR

Ayer Hitam, Muar, 1 Mac 2021 - Jabatan Mineral dan Geosains Johor (JMG Johor) telah menerima panggilan telefon dari pihak Bomba Muar bagi mengaktifkan telaga di sekitar Ayer Hitam, Muar berikutan berlakunya kebakaran tanah gambut di sana. Kawasan yang terbabit adalah sekitar Parit Juno, Parit Haji Lajis dan Parit Haji Zain, Muar.

Lanjutan dari itu pada 1 Mac 2021, Pengarah JMG Johor telah mengarahkan Pasukan Taskforce JMG Johor yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Unit Geosains, En Mohd Fauzi Bin Rajimin, dibantu oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan En Norhazidi  Bin Masrom beserta 10 anggota Taskforce yang lain bergegas ke tempat kejadian. Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan secara rasmi di Pt Hj Lajis, Muar oleh pihak Bomba Muar.

Set Generator (Genset) milik JMG yang disimpan di Balai Bomba Bukit Gambir,Muar telah dibawa ke tempat kejadian untuk mengaktifkan telaga di Parit Juno. Telaga Parit Juno 2 telah dipilih kerana kedudukannya yang paling hampir dengan kejadian.  Satu empangan penyekat "check dam" telah dibina di hujung Parit Juno. Tugas utama Taskforce JMG Johor adalah untuk memenuhkan parit berempangan ini dengan air telaga supaya dapat digunakan untuk pemadaman api dan menaikkan paras air tanah di kawasan sekitaran gambut. Pengepaman telah dimulakan dari 5.30 pm 1 Mac 2021 hingga 6.30 pm 4 Mac 2021 (selama 73 jam) dan sejumlah hampir 293,000 liter air telah berjaya dipam.

Sejumlah 10 agensi yang terlibat dalam operasi ini iaitu Bomba, APM, JMG, JPS, JAS, JKR, JPSM, Pejabat Daerah Muar, Pejabat Tanah Muar, UTHM dan sukarelawan bomba. Pengarah Bomba Negeri Johor telah membuat lawatan mengejut bersama pihak media ke tempat kejadian dengan menaiki helikopter Bomba. Hasil tinjauan melalui udara mendapati lebih 90 peratus aduan kebakaran adalah berpunca dari pembakaran sendiri. Pada 4 Mac 2021, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan

Sumbangan artikel : Encik Mohd Fauzi bin Rajimin