KUNJUNGAN HORMAT KE JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI JOHOR (StatsMalaysia) DAN JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI (JAKOA) NEGERI JOHOR

KUNJUNGAN HORMAT KE JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI JOHOR (StatsMalaysia) DAN JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI (JAKOA) NEGERI JOHOR

Johor Bahru, 21 Februari 2024 – StatsMalaysia atau Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab menyediakan pelbagai maklumat statistik termasuk dalam bidang ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar yang digunakan sebagai input dalam pembentukan pelaksanaan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara.

Pengarah JMG Johor, Tuan Haji Noorazhar bin Ngatimin telah berkunjung hormat ke rakan sejawat beliau iaitu Puan Mazreha binti Ya'akub (Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Johor) dalam rangka menjalin hubungan dan kerjasama dalam hal-hal berkaitan statistik. Setiap tahun, JMG turut melaksanakan kerja-kerja pengumpulan dan mengeluarkan laporan statistik berkaitan pengeluaran dan penggunaan mineral dan batuan negara. Justeru kerjasama JMG-DOSM ini akan memantapkan lagi bentuk maklumat dan rumusan data yang diperoleh agar laporan yang dikeluarkan lebih bermanfaat sama ada kepada Kerajaan mahu pun pemain industri berkaitan.
Pada sebelah petang pula, Pengarah JMG Johor, Tuan Haji Noorazhar bin Ngatimin dengan disertai oleh En Norhazidi bin Masrom (Penolong Pengarah Kanan) Unit Geosains telah mengadakan kunjungan hormat ke rakan sejawat beliau iaitu Tuan Faisal bin Long, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor.
 
Antara fungsi JMG yang berkaitan dengan JAKOA adalah berkaitan sumber bekalan air di petempatan orang Asli. Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian petempatan orang Asli masih lagi jauh di pedalaman dan belum menerima bekalan air bersih dari Kerajaan melalui operator pengeluaran air di Johor iaitu Syarikat Air Johor (SAJ). Justeru, kepakaran JMG masih diperlukan bagi pihak JAKOA untuk mendapatkan sumber bekalan air bersih bagi memenuhi keperluan beberapa petempatan Orang Asli di Johor.
Walaupun isu peruntukan sering menjadi penghalang, namun JMG sentiasa bersedia membantu khususnya berkaitan khidmat nasihat dan kajian. Ironinya, kerjasama antara JMG-JAKOA telah lama terjalin dalam membangunkan sumber air tanah melalui pembangunan telaga tiub.
 
Sumbangan artikel : FB jmgjohor