GEOPARK PERTAMA JOHOR DI MERSING

GEOPARK PERTAMA JOHOR DI MERSING

Mersing, 28 Oktober 2018 - Daerah Mersing mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai geopark pertama Johor oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan. Adun Endau, Alwiyah Talib berkata, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing apabila menjadi sekolah angkat pertama geopark di Johor amnya dan Mersing khususnya. Menurutnya, seperti mana difahamkan bahawa 300 juta tahun dahulu, Mersing merupakan kawasan gunung berapi yang aktif di mana kenyataan tersebut disokong oleh jenis batuan yang mendasari bumi Mersing.

Katanya, tidak sekadar gunung berapi, Mersing juga daratan yang awal terbentuk di Semenanjung Malaysia, walaupun Langkawi merupakan batuan tertua, namun sekitar 300 juta tahun lampau di saat bumi Mersing menjadi daratan, Langkawi masih berada di bawah lautan. "Pernyataan ini pasti mengejutkan banyak pihak khususnya kami warga Mersing. Tambahan pula dengan apa yang terjadi kepada jiran kita baru-baru ini iaitu Palu, Sulawesi. "Juga pelbagai andaian yang tersebar dalam media sosial berkaitan kedudukan negara kita Malaysia dalam lingkaran api pasifik. Semua ini membangkitkan pelbagai pertanyaan dan sudah pasti memerlukan penjelasan yang meyakinkan bagi memastikan kehidupan kita di Malaysia kekal harmoni. "Saya yakin, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) antara agensi bertanggungjawab dalam perihal berkaitan bumi boleh menjelaskannya," katanya pada Majlis Perasmian Program Promosi dan Kesedaran Geopark Kepada Komuniti Pendidikan Mersing di SMK Sri Mersing di sini. Beliau difahamkan ciri-ciri unik inilah yang telah melayakkan Mersing menjadi calon geopark kebangsaan pertama bagi Johor.

Katanya, cadangan pembangunan atau peruntukan Mersing Geopark selari dengan hasrat kerajaan negeri yang berhasrat mengangkat Mersing sebagai daerah pelancongan yang berjaya tidak sekadar di peringkat domestik malahan dunia. "Justeru amat tepatlah keputusan dibuat untuk menjadikan Mersing sebagai sebuah geopark. Kerajaan negeri telah meletakkan sasaran membangunkan Mersing sebagaimana Langkawi di utara tanah air. "Untuk makluman hadirin sekalian, 10 tahun kebelakangan ini kerajaan Negeri dengan bantuan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) banyak membangunkan kemudahan infra bagi menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Mersing destinasi pelancongan terunggul di rantau ini,"katanya.

Hadir sama, wakil Ketua Pengarah JMG Malaysia, Mohd Zukeri Abdul Ghani; wakil Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Kamarudin Mohamad Tahir; wakil Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Wan Nadzri Wan A Rahman dan Pengarah JMG Malaysia Johor, Mohammad Hussein Jamaluddin.

Dalam pada itu, Mohd Zukeri mengucapkan tahniah kepada warga Mersing kerana daerah itu dipilih menjadi geopark pertama Johor begitu juga SMK Sri Mersing yang dipilih menjadi sekolah angkat geopark di Johor. "Geopark merupakan satu wawasan pembangunan lestari wilayah yang memberikan tumpuan kepada pembangunan seimbang antara pemuliharaan warisan alam, meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat dan menjana kekayaan melalui industri pelancongan," katanya.

Sumber Artikel - Sinar Harian Online