Kejadian Kebakaran Dalam Kawasan Tanah Gambut Di Kampung Lepau, Mukim Pengerang, Kota Tinggi, Johor

Pada 19hb Jun 2013, semasa kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Negeri Johor mengadakan lawatan tapak bersama Syarikat Maju Teknik Kota (MTK) iaitu kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja penggerudian untuk pembinaan telaga tiub memadam kebakaran, mereka telah terserempak dengan sepasukan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) sedang memadam kebakaran di kawasan tanah gambut di Kg Lepau, Pengerang yang terletak dalam daerah Kota Tinggi, Johor iaitu di sebelah pantai timur dan mengarah ke selatan Negeri Johor.

Kawasan kebakaran melibatkan tanaman kelapa sawit seluas kira-kira 20 ekar yang ditanam di dalam kawasan tanah gambut. Menurut maklumat daripada penduduk tempatan, kejadian kebakaran telah berlarutan selama empat (4) hari. Semasa kejadian terdapat seramai lima (5) orang pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang bertugas memadam kebakaran. Lokasi kawasan cadangan penggerudian telaga tiub yang akan dibina oleh JMG Johor terletak kira-kira 50-100m daripada tempat kejadian. Maka lokasi yang dipilih berdasarkan kajian geofizik itu adalah sangat sesuai sekali kerana berada dalam lingkungan kawasan tanah gambut yang sering terbakar.

JMG Johor telah melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Negeri Johor secara sistem pesanan ringkas (sms) dan telah diambil maklum oleh JAS. Dalam masa yang sama, JMG Johor telah meminta kontraktor MTK untuk melaksanakan kerja-kerja penggerudian dan pembinaan telaga tiub untuk memadam kebakaran gambut dengan segera supaya sumber air bawah tanah daripada telaga tiub tersebut dapat membantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadam kebakaran jika ia berlaku semula di kawasan tersebut.