Program Penempatan Kakitangan JMG Johor Di Lombong Besi Chaah

program penempatan pegawai lombong besi Chaah 633x660

Batu Pahat, 1 April 2014 – Program ini dilaksanakan adalah lanjutan daripada kerjasama teknikal yang terjalin antara JMG Johor dan lombong besi Chaah bagi melaksanakan kerja-kerja penggerudian besi untuk menilai jumlah rizab dan gred besi di lombong berkenaan. Program yang dianjurkan oleh Unit Sumber Mineral JMG Johor dihadiri oleh 10 orang peserta dan 4 orang fasilitator.

Objektif program ini dijalankan adalah memberikan pengetahuan asas berkenaan kerja-kerja penggerudian besi bagi menilai jumlah sumber dan gred, memberikan pengetahuan berkenaan kerja-kerja perlombongan besi dan memberikan pengetahuan asas berkenaan pembentukan bijih besi.

Kerja-kerja penggerudian menggunakan 2 kaedah iaitu ‘diamond drill (DD)’ dan ‘reverse circulation drill (RC)’. Secara amnya, DD dijalankan bagi mendapatkan ‘core sample’ batuan dan bijih besi yang terdapat di lokasi manakala RC pula untuk mendapatkan sampel terserpih (chip sample).

Program penempatan ini didapati banyak memberikan manfaat khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai ketika melaksanakan program eksplorasi sumber mineral (emas) di jabatan dan juga budaya kerja di sektor swasta.

Walaupun, secara dasar atau teorinya proses yang dilakukan dalam melaksanakan program eksplorasi mineral antara syarikat swasta dan Jabatan (JMG) hampir sama khususnya dalam perkara persampelan, namun terdapat perbezaan dalam beberapa perkara seperti spesifikasi, parameter kajian dan analisis digunakan. Perbezaan-perbezaan ini boleh dijadikan panduan dan perbandingan kepada JMG bagi menghasilkan kualiti kerja yang lebih baik dan efektif khususnya dalam memberikan perkhidmatan khidmat nasihat kepada mereka yang bergiat dalam industri berkaitan mineral khususnya dalam kerja-kerja eksplorasi.

Satu perkara yang sangat perlu diambil iktibar dan menjadi amalan ialah kepentingan masa, sikap bertanggungjawab dan ketelitian menjalankan tugas atau kerja. Kesedaran bahawa setiap kerja atau tugas itu penting dan saling lengkap melengkapi perlu ada dalam diri setiap pekerja bagi menghasilkan kerja yang berkualiti, diyakini dan memberikan manfaat kepada syarikat khususnya dan pekerja amnya serta sentiasa dilakukan dalam tempoh ditetapkan.