Lawatan Turun Padang PPO

Pada 29 April 2015 yang lalu, Pejabat JMG Kelantan menerima kunjungan rasmi daripada Pengarah Penyelarasan Pelaksanaan Operasi (PPO), Tuan Haji Ab. Halim bin Hamzah sempena lawatan turun padang ke JMG Kelantan. Beliau diiringi oleh Puan Siti Aminah binti Abd. Sarif, Tuan Haji Nurzaidi bin Abdullah dan Encik Samizun bin Said. Program pada hari pertama dimulakan dengan lawatan Pengarah PPO dan rombongan ke tapak telaga air tanah yang dibina di bawah Program Pencegahan Kebakaran & Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar di kawasan Batu Karang, Pasir Mas. Beliau telah diberi penerangan berhubung keberkesanan dan sumbangan JMG dalam program tersebut. Seterusnya rombongan PPO telah dibawa melawat tapak tanah bangunan baru Pejabat JMG Kelantan yang terletak di Tunjung, Kota Bharu.

DSCN0874-tile

Pada hari kedua, Pengarah PPO & rombongan mengadakan majlis pertemuan dengan semua kakitangan JMG Kelantan bertempat di Bilik Mesyuarat Feldspar, JMG Kelantan. Taklimat berhubung dengan kemajuan projek-projek pembangunan tahun 2015 telah disampaikan oleh Pengarah JMG Kelantan, En. Mohd Nazan bin Awang. Dalam pertemuan itu, Pengarah PPO telah membincangkan beberapa perkara berhubung dengan perancangan Jabatan yang akan dilaksanakan. Sesi dialog dan bertukar pandangan bersama warga JMG Kelantan juga diadakan semasa majlis tersebut. Di kesempatan itu, Tuan Haji Ab. Halim telah menyerahkan sumbangan mangsa banjir kepada Pengarah JMG Kelantan bagi mewakili pihak Ibu Pejabat JMG.

Pada sebelah petangnya, rombongan PPO dibawa ke tapak telaga air tanah yang baru dibina bawah Program Pencegahan Kebakaran & Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar di kawasan Beris Lalang, Bachok. Disiapkan pada pertengahan April 2015, telaga tersebut dianggarkan berupaya mengeluarkan air sehingga 115 meter padu sejam. Satu demonstrasi pengepaman turut diadakan semasa lawatan tersebut.

Seluruh warga JMG Kelantan amat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Pengarah PPO dan rombongan di atas kesudian mengunjungi Pejabat JMG Kelantan.