CERAMAH KESIHATAN : MAKANAN, PENYEBAB ATAU PENAWAR KANSER

CERAMAH KESIHATAN : MAKANAN, PENYEBAB ATAU PENAWAR KANSER

Seremban, 16 November 2017 – Biro Kebajikan dan Kerohanian, Kelab Sukan dan Kebajikan JMGNSM (KESMiG) telah menjemput Hospital Pakar SALAM Senawang untuk melakukan Program Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Kesihatan.

Pegawai dan kakitangan JMGNSM berpeluang melakukan pemeriksaan tekanan darah dan indeks jisim badan BMI secara percuma, manakala dengan bayaran RM5 (Ringgit Malaysia Lima Sahaja) seorang, pegawai dan kakitangan JMGNSM boleh membuat pemeriksaan paras kolestrol dan pemeriksaan paras gula dalam darah untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing sebagai satu langkah berjaga-jaga.

Pakar Pemakanan dari Hospital Pakar SALAM Senawang, Cik Fadhilah binti Muhammad Razi telah memberikan ceramah kesihatan yang bertajuk “Makanan, Penyebab atau Penawar Kanser?”. Kanser atau barah merupakan sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Pakar pemakanan telah memberikan pengetahuan tentang amalan-amalam pemakanan yang betul yang boleh diamalkan oleh pegawai dan kakitangan JMGNSM. Amalan pemakanan yang terbaik yang boleh diamalkan semua ialah ‘Suku Suku Separuh’ iaitu suku pinggan pengambilan protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang, suku pinggan pengambilan karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi dan setengah pinggan pengambilan serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Di samping itu, pegawai dan kakitangan JMGNSM mendapat pendedahan tentang makanan yang boleh menyebabkan penyakit kanser terbentuk. Pendedahan yang diberikan sedikit sebanyak membantu staf JMGNSM dalam membuat pilihan makanan-makanan yang boleh membentuk atau menjadi penawar kepada penyakit kanser yang merupakan penyakit nombor satu Malaysia.