SIMPOSIUM INOVASI NRE 2017

SIMPOSIUM INOVASI NRE 2017

Buat julung kalinya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menganjurkan Simposium Inovasi NRE 2017 yang telah diadakan pada 20 – 21 Februari 2017 bertempat di Auditorium, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor. Simposium ini yang bertemakan “Merakyatkan Inovasi NRE” telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Simposium ini terbahagi kepada 2 acara yang dijalankan secara serentak iaitu pembentangan kertas kerja dan pameran inovasi yang telah disertai oleh 12 jabatan dan agensi di bawah NRE. Di antara jabatan dan agensi ini ialah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM), Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK). Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah dipilih mewakili Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia untuk membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk “Penghasilan Kaca Kristal Yang Mesra Alam daripada Pasir Silika Tempatan” dan kertas kerja ini telah disampaikan oleh En. Aminudin bin Mahmud, Ketua Cawangan Pelaksana Pengkomersialan.

Sesi pembentangan kertas kerja ini telah diakhiri dengan satu forum yang bertajuk “Hala Tuju R&D&C&I Agensi-agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)”. Forum ini telah dijayakan oleh Ybhg Dato’ Dr. Marzalina bt Mansor, Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM sebagai moderator dan ahli panelnya terdiri daripada En. Jaya Singam Rajoo, Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, NRE, Pn. Norsita bt Ismail, Pengarah Pemeriksa Paten Sains dan Pengetahuan Tradisional, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), En. Naser bin Jaafar, Ketua Pegawai Operasi, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Pn. Tengku Nila Putri bt Tengku Ilham, Senior Vice President, Marketing Advisory & MTDC Academy, MTDC.

Semoga penganjuran simposium yang pertama kali diadakan ini membawa manfaat dan memberi impak kepada seluruh organisasi dalam NRE untuk terus melonjak dan menerajui inovasi di Malaysia dan semoga ia dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.