Hari Keluarga JMG Pahang 2012

Meriah dan Penuh Keceriaan. Itulah yang dapat digambarkan suasana Hari Keluarga Jabatan Mineral dan Geosains Pahang yang telah dilangsungkan di Suria Cherating Beach Resort pada 8 - 9 September 2012 yang lalu. Acara ini telah dijalankan dengan jayanya di bawah kelolaan Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang (KESKEPA). Hari keluarga adalah wadah penting dalam memperatkan tali silaturrahim sesama kakitangan dan keluarga, yang berkhidmat di bawah satu jabatan. Justeru itu, acara ini telah menerima sokongan hangat dari semua dan merupakan hari yang ditunggu-tunggu. 

Suria Cherating Beach Resort terletak di Cherating, Kuantan dan perjalanan dengan kereta memakan masa kira-kira sejam setengah dari bandar Kuantan. Ketibaan kakitangan bersama keluarga masing-masing pada petang hari pertama disambut mesra oleh pihak resort dan urusetia yang bertugas. Suasana resort bertukar menjadi meriah dengan pelbagai ragam mereka yang hadir. Setiap keluarga dibekalkan dengan baju sukan rasmi hari keluarga dan dihadiahkan satu hamper. Setelah selesai urusan pendaftaran dan penginapan, hari keluarga dimulakan dengan acara pertandingan membina istana pasir. Sebanyak 12 keluarga telah mengambil bahagian, mencurah keringat dan menunjukkan daya kreativiti masing-masing bagi menghasilkan binaan yang mampu memikat hati para juri. Keputusannya istana pasir binaan keluarga Hj Yusri dari Unit Pengurusan Maklumat telah muncul sebagai juara.

Majlis makan malam pada tahun ini telah memilih tema Sambutan Hari Raya Aidilfitri memandangkan bulan Syawal yang masih belum berakhir. Setiap yang hadir berpakaian busana raya kecuali beberapa orang kanak-kanak yang menyertai acara pertandingan pakaian beragam. Pelbagai karakter dipilih untuk digayakan pada malam itu. Bagi membuka majlis, YH Dato' Pengarah JMG Pahang, Dato' Rohimi Che Wan telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kakitangan yang hadir menjayakan sambutan hari keluarga. Sambil menjamu selera, pertandingan karoake lagu raya diadakan dan ia mendapat sambutan hangat. Ternyata JMG Pahang mempunyai ramai kakitangan yang berbakat dan bersuara merdu. Untuk kanak-kanak, acara melukis disediakan. Di samping itu, majlis juga diserikan dengan pengumuman cabutan bertuah dan dengan hadiah yang banyak disedia, hampir setiap orang mendapat habuan masing-masing.

Hari kedua dipenuhi dengan pelbagai pertandingan sukaneka dan semua orang diberi kesempatan untuk mengambil bahagian. Peserta dipecahkan kepada 4 kumpulan iaitu Kumpulan Baju Oren, Baju Merah, Baju Hijau dan Baju Biru. Bagi golongan dewasa, antara acara yang dipertandingkan ialah bola tampar, lari dalam guni, bowling kelapa, lambungan kasih dan tarik tali. Untuk kanak-kanak disediakan beberapa acara seperti tiup belon, bawa bola ping pong, lari dalam guni dan sebagainya. Pertandingan berlangsung dalam suasana ceria dan dipenuhi dengan gelak ketawa tetapi pada masa yang sama setiap peserta jelas mempamerkan keazaman untuk menang. Pada tahun ini Pasukan Baju Oren yang diketuai oleh Tn. Hj Abdul Rahman Yusoff (Timb. Pengarah Sumber Mineral) telah muncul johan keseluruhan dengan memenangi hampir setiap acara yang dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Majlis berakhir kira-kira jam 5.00 petang dan rata-rata peserta pulang dengan wajah kegembiraan. Setinggi penghargaan sewajarnya diberikan kepada Urusetia Sambutan Hari Keluarga 2012 yang diketuai oleh En. Afandi Muda yang telah mengendalikan majlis ini dengan jayanya. Syabas !!!!!!. Semoga jumpa lagi di tahun hadapan.