MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN TELAGA TIUB DAN SISTEM PENAPISAN AIR TANAH RINGKAS (SPATR) KE MASJID AL-HASANAH, bandar baru BANGI

MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN TELAGA TIUB DAN SISTEM PENAPISAN AIR TANAH RINGKAS (SPATR) KE MASJID AL-HASANAH, bandar baru BANGI

Pada 18 April 2018, Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas kepada Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JMG Malaysia YBhg. Datuk Shahar Effendi bin Abdullah Aziz. Pengarah JMGSWP Yang Berusaha En. Jontih Enggihon bersama Dato' Haji Abdullah bin Md Din, Nazir Masjid Al-Hasanah telah menandatangan dokumen penyerahan dan disusuli dengan lawatan ke tapak telaga tiub. Majlis diserikan dengan kehadiran wakil-wakil JMG negeri, pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dan orang awam.

PENERANGAN PROJEK

Projek pembinaan telaga tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR), Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi merupakan projek yang dilaksanakan di bawah Projek Bekalan Air di Kawasan-kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih, RMKe-11.

Jabatan telah menerima permohonan daripada Masjid Al-Hasanah yang mengalami masalah bekalan air yang tidak dapat menampung keperluan komuniti setempat terutamanya ketika musim kemarau. Sehubungan dengan itu, sebuah telaga tiub telah dibina di sini dengan kedalaman 81 meter di dalam batuan syis, Formasi Kajang dengan luahan sebanyak 5,000 liter/jam. Telaga tiub ini telah dipasang dengan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR). Sistem penapisan ini telah berjaya meningkatkan kualiti air tanah. Antara aspek kualiti air tanah yang berjaya ditingkatkan ialah kandungan unsur besi yang telah dikurangkan daripada 5 ppm ke 0.3 ppm. Warna keperangan air juga telah berubah menjadi jernih. Telaga tiub dan sistem ini telah berjaya menyediakan sumber air bersih yang berterusan dan memberi manfaat kepada qariah masjid dan komuniti setempat.