TAPAK FOSIL DI BUKIT BUCU

TAPAK FOSIL  DI BUKIT BUCU

LAWATAN TAPAK KE KAWASAN BUKIT BUCHU

Bukit Buchu merupakan salah satu geotapak yang terdapat di dalam negeri Terengganu kerana ianya merupakan tapak geologi bersinigfikan tinggi dengan kehadiran dan kewujudan pelbagai fosil fauna dan flora yang berusia Karbon- Permian (350- 200 juta tahun). Geotapak ini juga mudah untuk dilawati dan merupakan tapak untuk sesi pembelajaran pelajar-pelajar jurusan Sains (Geologi) dari pelbagai universiti.

Ekoran daripada liputan media KOSMO pada 18 OGOS 2022 bertajuk “Fosil Purba Bukit Buchu Sudah Pupus”, satu lawatan tapak telah dilakukan pada 24 Ogos 2022 untuk melihat status terkini geotapak Bukit Buchu, dan hasil lawatan mendapati keadaan di tapak masih terkawal dan panel penerangan geotapak yang dipasang pada tahun 2019 masih utuh dan kekal sebagaimana yang asal.

Lot-Lot yang diwartakan masih dalam keadaan baik dan pengambilan tanah berlaku pada lot-lot bersebelahan dengan kawasan pewartaan. Fosil-fosil flora dan fauna masih dapat dilihat di dinding lapisan batuan syal dan batu pasir. Namun apa yang membimbangkan adalah lapisan batuan tersebut menegak dan proses luluhawa dan hakisan boleh menyebabkan lapisan yang mempunyai fosil tersebut jatuh dan runtuh dengan semula jadi.

Pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Terengganu bersama agensi- agensi teknikal yang lain akan terus berusaha sedaya-upaya untuk mengekalkan kelestarian tapak fosil di Bukit Buchu dan berharap agar geotapak ini akan dapat diwartakan sebagai Objek Warisan dan juga sebagai Tapak Warisan Geologi di kemudian hari demi generasi yang akan datang.