AKTIVITI UNIT LOMBONG DAN KUARI JMG TERENGGANU

AKTIVITI UNIT LOMBONG DAN KUARI JMG TERENGGANU

AKTIVITI LOMBONG DAN KUARI JMGT TERENGGANU

 

Aktiviti perlombongan mineral di Terengganu :-

 

  • Lombong Emas
  • Lombong Timah
  • Lombong Bijih Besi
  • Lombong Pasir Silika
  • Lombong Kaolin (tidak aktif/tiada pengeluaran)
  • Lombong Wolfram/Tungsten (tidak aktif/tiada pengeluaran)
  • Lombong Batu Dimensi (tidak aktif/tiada pengeluaran)

 

Aktiviti pengkuarian pula sebanyak 15 buah kuari yang beroperasi dan aktif di Terengganu :-

 

  • Kuari Andesit
  • Kuari Granite

 

Kawalseliaan & Penguatkuasaan

Antara tanggungjawab yang dimainkan oleh Unit Lombong Dan Kuari di Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Terengganu adalah mengawalselia dan memeriksa operasi perlombongan dan pengkuarian, perlesenan serta memberi khidmat nasihat dan kepakaran berkaitan dengannya kepada pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi sektor swasta dan awam.

 

 

Pemantauan dan Kawalseliaan Aktiviti Perlombongan dan Pengkuarian

Matlamat asas pemantauan dan kawalselia yang dijalankan di lombong dan kuari adalah untuk memastikan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dijalankan secara teratur, sistematik, mengikut amalan kejuruteraan terbaik dan mematuhi peruntukan perundangan. Undang-undang yang menjadi asas penguatkuasaan di lombong adalah Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakment Mineral (Terengganu) 2002. Manakala bagi operasi pengkuarian pula penguatkuasaan adalah tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Kuari Terengganu 2007.

 

Unit Lombong Dan Kuari amat perihatin terhadap aduan yang diterima berkaitan aktiviti perlombongan dan pengkuarian. Semua aduan yang diterima akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. Sepanjang tahun 2021 terdapat 5 aduan dan tiada laporan kes  kemalangan maut yang berlaku di lombong dan kuari.

 

Pelesenan

Antara surat/ lesen yang dikeluarkan oleh Unit Lombong Dan Kuari JMG Terengganu :-

  • Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong
  • Surat Kebenaran Pengkuarian.
  • Surat Penilaian Teknikal untuk mengeksport bahan mineral telah diproses
  • Surat Penilaian Teknikal untuk mengeksport bahan batuan
  • Pembaharuan kad/sijil pembedil
  • Permohonan baru untuk mendapatkan kad dan sijil pembedil.
  • Lesen Mineral
  • Lesen Proses
  • Lesen Angkut

 

Khidmat Nasihat dan Kepakaran

Selain menjalankan pengawalseliaan dan pemantauan ke atas operasi perlombongan dan pengkuarian, Unit Lombong Dan Kuari juga berperanan memberi khidmat nasihat kepada Pihak berkuasa Negeri, agensi Kerajaan serta pihak swasta dan awam khususnya berkaitan dengan pembangunan industri mineral, disamping menyediakan laporan ulasan bagi permohonan berkaitan carigali, pajakan melombong dan tapak kuari.

 

 

Aktiviti-aktiviti lain

Other Activities

 

Pegawai dari Unit Lombong Dan Kuari juga terlibat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Permohonan Tanah Lombong / Perusahaan Kuari Negeri Terengganu untuk membuat syor dan cadangan kepada Pihak Berkuasa Negeri terhadap permohonan tenemen mineral yang diterima Kerajaan Negeri.

ASPIRING KENYIR GEOPARK

ASPIRING KENYIR GEOPARK
Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan mampunyai 340 buah pulau. Keindahan panorama Tasik Kenyir ditambah nilai dengan penemuan fosil dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau dan penemuan fosil bivalvia gergasi di Bukit Biwah yang hanya ditemui di beberapa lokasi di dunia. Tasik Kenyir juga merupakan tapak peradaban awal manusia di Semenanjung Malaysia. Penemuan rangka manusia yang dikenal pasti berumur 16,000 tahun atau manusia zaman Mesolitik di gua batu kapur Bukit Biwah merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia selepas penemuan rangka manusia di Gua Tok Bidan, Tasik Kenyir. Kepelbagaian geologi di Tasik Kenyir adalah amat penting bagi menampung kepelbagaian flora dan fauna. Terdapat beberapa spesies flora dan fauna endemik yang hanya boleh ditemui di Tasik Kenyir seperti Dendrobium terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) dan Pearsonia tembatensis (siput). Terdapat juga tumbuhan langka seperti Begonia reginula dan Melunak (Pentace excelsa) selain haiwan ikonik lainnya seperti harimau, gajah, tapir, seladang, beruang dan sebagainya. Kepelbagaian warisan geologi dan biodiversiti Tasik Kenyir diperkukuhkan lagi dengan kekayaan dan keunikan tradisi dan nilai budaya masyarakat tempatan. Tambahan lagi dengan pelbagai tapak sejarah dan penemuan artifak arkeologi penting seperti Batu Bersurat Terengganu menambah lagi komponen sumber asli di Tasik Kenyir yang penting dalam penubuhan Geopark.
 
Sehingga kini, sebanyak 15 geotapak telah dikenalpasti di dalam wilayah Kenyir Geopark. Pencirian ini telah dilakukan berdasarkan evolusi sedimen/stratigrafi, evolusi tektonik, evolusi igneus dan evolusi morfologi. Setiap geotapak juga dikenalpasti berdasarkan nilai antarabangsa, kebangsaan dan tempatan dengan membuat perbandingan fitur-fitur utama geotapak tersebut di dalam daerah, negeri dan negara. Setiap satu tapak warisan geologi tidak dibataskan kepada satu kategori kepelbagaian warisan sahaja, malah boleh mewakili beberapa kepelbagaian warisan.
 
Bagi kepelbagaian biologi, terdapat 11 biotapak yang telah dikenalpasti di dalam kawasan Kenyir Geopark.Pemuliharaan kepelbagaian biologi adalah berdasarkan kepada sistem Hutan Simpanan Kekal di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan. Vegetasi tabii di seluruh negeri Terengganu ialah hutan hujan tropika malar hijau.
 
Warisan budaya terdiri daripada dua jenis konsep iaitu “warisan ketara” (sesuatu yang kekal dilihat dan dipegang sama ada statik atau mudah alih, contohnya bangunan dan tempat-tempat bersejarah, tugu serta artifak yang dianggap penting untuk dipulihara, selain objek-objek yang di anggap penting dari sudut arkeologi, seni bina, teknologi serta kraftangan sesuatu budaya) dan “warisan tak ketara” (ilmu, kepakaran, bahasa dan perbahasaan yang ditafsirkan melalui tradisi lisan, bahasa, muzik dan lagu, makanan serta permainan tradisional). Kedua-dua konsep warisan budaya ini diguna pakai di Malaysia berasaskan Akta Warisan Kebangsaan 2005, dan Kenyir Geopark menawarkan kedua-dua jenis warisan tersebut. Sehingga kini, terdapat 8 elemen warisan budaya yang dapat diketengahkan di dalam pembangunan Kenyir Geopark.
 
Kenyir Geopark bukanlah satu kawasan pewartaan seperti taman negara dan diwujudkan berteraskan konsep pembangunan lestari wilayah. Pengisytiharan dan penjenamaan semula kawasan Tasik Kenyir dan bandar sekitar sebagai sebuah geopark akan memartabatkan sumber warisan tabii dan budaya melalui pemuliharan bersepadu, mempertingkatkan pembangunan ekonomi melalui geopelancongan, mengekalkan integriti alam sekitar dan memperkasakan masyarakat setempat demi kesejahteraan penghidupan sejagat.
 
Rujukan ; Faizah Mohd Sharoum, Mohd Tajuddin Abdullah, Che Aziz Ali & Roslina Ismail. 2015. Geopark Tasik Kenyir. Universiti Malaysia Terengganu.

PERLOMBONGAN DI NEGERI TERENGGANU

PERLOMBONGAN DI NEGERI TERENGGANU
PERLOMBONGAN DI NEGERI TERENGGANU
Pada era tahun 1920an hingga akhir tahun 1960an, hasil bijih besi di Bukit Besi, Terengganu adalah merupakan nadi utama kepada ekonomi Negeri Terengganu yang memberi impak besar kepada perubahan struktur sosio-ekonomi daerah Dungun khususnya dan negeri amnya.
Penemuan sumber-sumber galian lain seperti wolfram dan bijih timah di Dungun, ilmenite di Ajil, Hulu Terengganu, emas di Setiu dan Marang yang telah dieksploitasikan oleh Kerajaan Negeri melalui PMINT dengan mengambil langkah proaktif dalam mempergiatkan semula aktiviti perlombongan.Penerapan kaedah teknologi pemprosesan moden telah diaplikasikan selain penerapan sebahagian besar guna tenaga dalam menjana sumber hasil produktif yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Pada tahun 1982, perjanjian persefahaman telah ditandatangani di antara PMINT dan Malaysian Mining Corporation bagi tujuan menjalankan kerja-kerja eksplorasi bijih di kawasan Bukit Temiang dan Gunung Ayam berkeluasan 240,291 hektar.Selain itu, perjanjian usahasama juga telah diwujudkan di antara PMINT, KETENGAH dan Malaysian Mining Corporation untuk kerja-kerja mengekstrak bijih dalam kawasan seluas 131,651 hektar milik KETENGAH.
 
 
credit to PMINT

Kasih Ibu Selamanya

Kasih Ibu Selamanya

JMG Terengganu mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua kakitangan wanita JMG dan juga para ibu kakitangan JMG yang telah banyak berjasa dan berkorban dalam membesarkan anak-anak.

Hari ibu disambut bagi meraikan semua kaum ibu, menghargai jasa serta pengorbanan dan ianya diraikan saban tahun pada minggu kedua Bulan Mei.

Sambutan Hari Ibu 2022 bertemakan “Kasih Ibu Selamanya”. Tidak kira apa anutan agama seseorang, ibu bapa tetap dihormati dan dihargai kerana pengorbanan dan jasa mereka kepada anak-anak.

Sejauh mana pula penghargaan anak-anak terhadap ibu bapa mereka hanya anak-anak sendiri dapat menjawabnya.