ASPIRING KENYIR GEOPARK

ASPIRING KENYIR GEOPARK
Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan mampunyai 340 buah pulau. Keindahan panorama Tasik Kenyir ditambah nilai dengan penemuan fosil dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau dan penemuan fosil bivalvia gergasi di Bukit Biwah yang hanya ditemui di beberapa lokasi di dunia. Tasik Kenyir juga merupakan tapak peradaban awal manusia di Semenanjung Malaysia. Penemuan rangka manusia yang dikenal pasti berumur 16,000 tahun atau manusia zaman Mesolitik di gua batu kapur Bukit Biwah merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia selepas penemuan rangka manusia di Gua Tok Bidan, Tasik Kenyir. Kepelbagaian geologi di Tasik Kenyir adalah amat penting bagi menampung kepelbagaian flora dan fauna. Terdapat beberapa spesies flora dan fauna endemik yang hanya boleh ditemui di Tasik Kenyir seperti Dendrobium terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) dan Pearsonia tembatensis (siput). Terdapat juga tumbuhan langka seperti Begonia reginula dan Melunak (Pentace excelsa) selain haiwan ikonik lainnya seperti harimau, gajah, tapir, seladang, beruang dan sebagainya. Kepelbagaian warisan geologi dan biodiversiti Tasik Kenyir diperkukuhkan lagi dengan kekayaan dan keunikan tradisi dan nilai budaya masyarakat tempatan. Tambahan lagi dengan pelbagai tapak sejarah dan penemuan artifak arkeologi penting seperti Batu Bersurat Terengganu menambah lagi komponen sumber asli di Tasik Kenyir yang penting dalam penubuhan Geopark.
 
Sehingga kini, sebanyak 15 geotapak telah dikenalpasti di dalam wilayah Kenyir Geopark. Pencirian ini telah dilakukan berdasarkan evolusi sedimen/stratigrafi, evolusi tektonik, evolusi igneus dan evolusi morfologi. Setiap geotapak juga dikenalpasti berdasarkan nilai antarabangsa, kebangsaan dan tempatan dengan membuat perbandingan fitur-fitur utama geotapak tersebut di dalam daerah, negeri dan negara. Setiap satu tapak warisan geologi tidak dibataskan kepada satu kategori kepelbagaian warisan sahaja, malah boleh mewakili beberapa kepelbagaian warisan.
 
Bagi kepelbagaian biologi, terdapat 11 biotapak yang telah dikenalpasti di dalam kawasan Kenyir Geopark.Pemuliharaan kepelbagaian biologi adalah berdasarkan kepada sistem Hutan Simpanan Kekal di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan. Vegetasi tabii di seluruh negeri Terengganu ialah hutan hujan tropika malar hijau.
 
Warisan budaya terdiri daripada dua jenis konsep iaitu “warisan ketara” (sesuatu yang kekal dilihat dan dipegang sama ada statik atau mudah alih, contohnya bangunan dan tempat-tempat bersejarah, tugu serta artifak yang dianggap penting untuk dipulihara, selain objek-objek yang di anggap penting dari sudut arkeologi, seni bina, teknologi serta kraftangan sesuatu budaya) dan “warisan tak ketara” (ilmu, kepakaran, bahasa dan perbahasaan yang ditafsirkan melalui tradisi lisan, bahasa, muzik dan lagu, makanan serta permainan tradisional). Kedua-dua konsep warisan budaya ini diguna pakai di Malaysia berasaskan Akta Warisan Kebangsaan 2005, dan Kenyir Geopark menawarkan kedua-dua jenis warisan tersebut. Sehingga kini, terdapat 8 elemen warisan budaya yang dapat diketengahkan di dalam pembangunan Kenyir Geopark.
 
Kenyir Geopark bukanlah satu kawasan pewartaan seperti taman negara dan diwujudkan berteraskan konsep pembangunan lestari wilayah. Pengisytiharan dan penjenamaan semula kawasan Tasik Kenyir dan bandar sekitar sebagai sebuah geopark akan memartabatkan sumber warisan tabii dan budaya melalui pemuliharan bersepadu, mempertingkatkan pembangunan ekonomi melalui geopelancongan, mengekalkan integriti alam sekitar dan memperkasakan masyarakat setempat demi kesejahteraan penghidupan sejagat.
 
Rujukan ; Faizah Mohd Sharoum, Mohd Tajuddin Abdullah, Che Aziz Ali & Roslina Ismail. 2015. Geopark Tasik Kenyir. Universiti Malaysia Terengganu.