Penemuan Sulung Gas Metana di Terengganu

Kuala Terengganu - Jabatan Mineral dan Geosains negeri Terengganu mengesahkan gas yang keluar dari telaga tiub di Kampung Padang Macang, Manir dekat sini adalah gas metana, sejenis bahan bakar yang banyak digunakan untuk memasak.

Gas Metana TGG

Pengarahnya, Mohamad Pauzi Abdullah (gambar) berkata, inilah kali pertama gas itu ditemui di negeri tersebut. Katanya, gas itu dipercayai terhasil akibat bentuk geografi kawasan Manir dan Sungai Terengganu yang asalnya banyak mempunyai paya.

Tn Hj Pauzi

Beliau menjelaskan, tanah paya menghimpunkan mendapan pokok-pokok, akar dan daun-daun yang telah mereput sejak beratus tahun dahulu dan akhirnya menghasilkan gas metana.

"Hasil pemerhatian awal kami mendapati gas yang ditemui di kawasan itu masih baru terbentuk dan bersifat setempat. "Keadaan ini biasa berlaku di kawasan berpaya, apabila ia terbakar untuk beberapa ketika sebelum bekalannya dengan sendiri akan habis," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad Pauzi berpendapat, masih terlalu awal untuk merumuskan wujudnya potensi ekonomi yang besar akibat penemuan gas itu.

Beliau bagaimanapun bersetuju kajian susulan dilakukan untuk mengenal pasti jumlah simpanan gas metana di situ.

Mengenai keselamatan penduduk setempat, Mohamad Pauzi berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana gas itu bukan jenis yang berbahaya.

 

sumber : keratan akhbar