GOTONG-ROYONG DI BEKAS LOMBONG TEMBAGA MAMUT, RANAU

GOTONG-ROYONG DI BEKAS LOMBONG TEMBAGA MAMUT, RANAU

RANAU, SABAH (04 APRIL 2018) : Rabu. Aktiviti gotong royong di sekitar kawasan bekas lombong tembaga Mamut telah dijalankan pada 03 April 2018 dan 04 April 2018. Aktiviti gotong royong ini diadakan bagi membersihkan kawasan-kawasan sekitar bekas lombong terutamanya di kawasan yang melibatkan tugasan-tugasan yang berkaitan dengan aktiviti pemantauan teknikal keselamatan, persampelan efluen, serta yang terlibat dengan perancangan kerja-kerja pemulihan. Aktiviti ini disertai oleh pelbagai agensi termasuklah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau, Pejabat Daerah Ranau, Jabatan Kerja Raya Daerah Ranau dan Pejabat Perhutanan Ranau. Jabatan Perlindungan Alam Sekitar bertindak sebagai pengelola dalam menjayakan aktiviti ini. Di pihak jabatan, En. Tengku Zainal Abidin Raja Jaafar serta En. Arthur Leo terlibat dalam menjayakan program gotong royong ini.

Aktiviti gotong royong ini bermula seawal jam 8 pagi dengan semua pihak berkumpul di kawasan tapak tamu harian, tidak jauh dari Pekan Ranau sebelum bergerak masuk ke kawasan bekas lombong yang jaraknya 12km dan mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam. Aktiviti ini juga disertai oleh jentera-jentera yang bersesuaian dan dikendalikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Ranau termasuklah jentolak dan lori.

Pembaikan jalan akses terutama yang dikawasan bekas lombong yang telah lama rosak akibat hakisan yang berterusan dijalankan seterusnya menambahbaik kualiti keadaan jalan dan mengurangkan risiko kerosakan kenderaan yang masuk ke kawasan bekas lombong terutama daripada agensi-agensi yang terlibat dalam aktiviti pemantauan dan pemulihan lombong. Selain itu, kawasan semak di sekitar kolam takungan sementara yang lebih dikenali sebagai "The Blue Pond" atau "Tasik Biru"  dan kawasan Ulu Sungai Mamut juga dibersihkan. Ini seterusnya akan membantu akses di kawasan ini serta meningkatkan aspek-aspek keselamatan kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat semasa menjalankan kerja lapangan di bekas lombong ini. Aktiviti gotong royong ini tamat sekitar jam 4 petang pada 03 April 2018 dan bersambung semula pada pagi hari rabu, 04 April 2018.

Sumber maklumat dan foto : En. Arthur Leo