Persaraan Pengarah Kanan PPM

Persaraan Pengarah Kanan PPM

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 20 Januari 2020. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pengarah Kanan PPM, Encik Aminudin bin Mahmud yang telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam pada 17 Januari 2020 yang lalu. Di kesempatan ini, Pengarah Kanan telah menyampaikan ucapan terakhir beliau bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan yang telah diadakan pada 14 Januari 2020 bertempat di Dewan Seminar PPM.

Encik Aminudin bin Mahmud telah mendapat lantikan pertama ke Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Penyelidik, bergred A20 di Institut Penyelidikan Galian (IPG), Jabatan Galian Malaysia bermula pada tahun 1983. Kemudian pada 1997, beliau dinaikkan pangkat ke gred Q2. Pada tahun 2002, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat ke gred Q48 diikuti gred Q52 pada tahun 2008 di Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM JMG). Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Seksyen Sokongan Penyelidikan dan Pentadbiran PPM JMG pada tahun yang sama. Seterusnya, Encik Aminudin sekali lagi telah dinaikkan pangkat ke gred Q54 serta dilantik sebagai Ketua Cawangan Pelaksana Pengkomersialan di PPM JMG pada tahun 2014. Beliau terus melakar kejayaan dengan dilantik sebagai Timbalan Pengarah PPM JMG pada tahun 2016. Kemudian mulai 28 Januari 2019, beliau telah menanggung kerja sebagai Pengarah Kanan PPM, JUSA C dan pada tahun yang sama iaitu mulai 20 Jun 2019, beliau dilantik sebagai Pengarah Kanan PPM.

Di samping itu, Encik Aminudin juga telah merangkul beberapa anugerah sepanjang perkhidmatan beliau seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di IPG, Jabatan Galian Malaysia pada tahun 1992 dan 1994, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di PPM JMG pada tahun 2005, serta Anugerah Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2010. Akhir sekali, beliau sekali lagi telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di PPM pada tahun 2014.

Di kesempatan ini, kami semua warga PPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Encik Aminudin bin Mahmud atas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan selama ini dalam membangunkan PPM sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Aminudin dalam melayari alam persaraan, dan semoga sihat dan bahagia bersama keluarga tercinta.