LAWATAN TEKNIKAL KEMENTERIAN EKONOMI (KE) KE PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL

LAWATAN TEKNIKAL KEMENTERIAN EKONOMI (KE) KE  PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL
IPOH, 10 Oktober – Satu lawatan teknikal Kementerian Ekonomi (KE) telah diadakan di Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG) pada hari ini.
Delegasi KE diketuai oleh En. Che Kodir bin Baharum, Pengarah Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli (BEASSA), Kementerian Ekonomi.
Lawatan ini bertujuan memantau aktiviti-aktiviti R&D yang dijalankan di PPM. Di samping itu, ia juga sebagai platform bagi pegawai penyelidik untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada Kementerian dan Ibu Pejabat JMG tentang aktiviti-aktiviti R&D yang telah dan akan dijalankan di PPM.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Nazwin binti Ahmad, Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan Mineral diikuti oleh ucapan daripada YBrs En. Che Kodir bin Baharum.
Para delegasi turut diberi taklimat berkenaan projek-projek RMKe12 PPM iaitu Projek Inovasi dan Pengkomersialan Produk Mineral Perindustrian dan Sisa Industri oleh En. Hamdan bin Yahya, Projek Pembinaan Baharu Makmal Teknologi Silika oleh En. Mohd. Idham bin Mustaffar dan Teknologi Rawatan Sisa dari Loji Pemprosesan Sumber Nadir Bumi Bukan Radioaktif oleh Dr. Ismail bin Ibrahim.
Kemudian para delegasi dibawa melawat ke Galeri Penyelidikan dan makmal-makmal Cawangan Teknologi Pemulihan Lombong dan Kuari (CTPLK), Cawangan Teknologi Bahan Batuan (CTBB) dan Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM).
Turut hadir dalam lawatan ini ialah P.Geol. Dr. Abdullah bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah (Korporat dan Ekonomi Mineral) JMG serta pegawai-pegawai dari KE, NRECC dan Ibu Pejabat JMG.