MAJLIS PERASMIAN HARI LANDSKAP JOHOR 2017

muka depan hari landskap 2017

Johor Bahru, 19 November 2017 - Telah berlangsungnya Majlis Perasmian Hari Landskap Johor 2017 bertempat di SIREH Park@Iskandar Puteri, Nusa Idaman yang telah dirasmikan YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor.

Bertemakan Landskap Aspirasi Warisan Semulajadi adalah diharapkan perancangan pembangunan mengambil kira pelbagai aspek kehidupan termasuk mengekalkan kepelbagaian biodiversiti yang merangkumi flora dan fauna. Harus diingat bahawa bumi yang dipijak ini merupakan dunia bagi segala kehidupan yang bukan khusus kepada manusia sahaja malah saling lengkap melengkapi. Bukit-bukau dan gunung-ganang merupakan pasak kepada keampuhannya dan kepelbagaian tumbuhan pula menyumbang keperluan oksigen.

Sehubungan itu sewajarnya hubungan manusia dengan persekitarannya amat relevan dan perlu dipelihara dan pembangunan dijalankan secara lestari.

JMG Johor dengan kerjasama UEM Sunrise iaitu agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan SIREH Park@Iskandar Puteri akan membangunkan sebuah geotapak (geosite) iaitu singkapan batuan yang merekodkan pembentukan Iskandar Puteri pada 250 juta tahun yang lampau. Sebuah galeri gelogi juga dirancang untuk dibina di fasa akan datang. Geotapak yang bakal dibangunkan ini diharapkan dapat memberikan pengetahuan dan maklumat kepada komuniti sekitar berhubung pembentukan tempat tinggal mereka seterusnya meningkatkan nilai kasih kepada bumi yang dipijak.